Rumah terbuka Aidilfitri oleh bukan Islam harus dengan syarat - DAP Johor
DIANA AZIS
09 April 2026 03:03pm

Sheikh Umar Bagharib Ali
SHAH ALAM - Penganjuran rumah terbuka Aidilfitri oleh mana-mana pihak termasuk bukan Islam adalah harus dengan syarat yang dipatuhi secara jelas.
Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali menjelaskan, tiada halangan sekiranya tidak diadakan di premis ibadat seperti kawasan sembahan tokong serta tiada penglibatan ritual keagamaan bukan Islam dalam program tersebut.
Selain itu menurutnya, ia juga harus sekiranya makanan dan minuman yang disediakan adalah halal serta diyakini bersih, di samping kekal sebagai acara sosial dan tidak bercampur aduk amalan keagamaan.
"Jika ada unsur ritual agama atau dibuat dalam ruang sembahan yang boleh menimbulkan kekeliruan akidah, ia boleh jatuh haram.
"Jika dibuat untuk memupuk perpaduan, mengerat persaudaraan, program terkawal dengan adab dan etika, ia amat digalakkan.
"Namun jika sesuatu perkara itu membawa manfaat tetapi pada masa sama berisiko mendatangkan mudarat yang lebih besar, maka tindakan mengelak mudarat perlu diutamakan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Sebelum ini Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) melarang sebuah persatuan tokong di Butterworth untuk menganjurkan majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri memandangkan sambutan itu merupakan antara aktiviti keagamaan masyarakat Islam.
Aduan Persatuan Anak Jati Melayu yang diterima jabatan itu pada 31 Mac lalu menyatakan acara tersebut dianjurkan Persatuan Tean Hock Keong.
Dalam pada itu, Sheikh Umar menegaskan, Islam tidak menolak interaksi sosial dan hubungan baik antara penganut agama berbeza dari sudut syariah, namun pendekatan hukum masih perlu untuk menilai keseimbangan antara penjagaan agama dan maslahah sosial.
"Meski ada kebimbangan salah faham dikalangan masyarakat awam, ia bukan alasan untuk kita menjadi taboo, sebaliknya perlu diwacana secara sihat dalam latar kemajmukan Malaysia.
"Saya mengajak semua pihak untuk melihat isu ini dengan hikmah, berasaskan ilmu dan prinsip syariah yang seimbang agar kita dapat terus membina masyarakat dan negara Malaysia yang bersatu padu," ujarnya.
https://www.sinarharian.com.my/article/775018/berita/politik/rumah-terbuka-aidilfitri-oleh-bukan-islam-harus-dengan-syarat---dap-johor
|