
Sebuah bot rekreasi ditahan Maritim Malaysia selepas disyaki menceroboh kawasan larangan berhampiran pelantar minyak di perairan Kuala Miri, pada pagi Khamis.
MIRI: Sebuah bot rekreasi ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri selepas disyaki menceroboh kawasan larangan berhampiran pelantar minyak di perairan Kuala Miri, pada pagi Khamis.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata bot berkenaan ditahan sekitar jam 11.30 pagi pada kedudukan lebih kurang 22.4 batu nautika barat laut Kuala Miri oleh aset ronda Maritim Malaysia yang melaksanakan Op Permai 01/19, Op Tiris 4.0 dan Op Khas Pagar Laut 1/2026.
Katanya, penahanan itu dilakukan hasil maklumat awam yang diterima daripada petugas pelantar minyak milik Petronas serta beberapa aduan terdahulu kepada Pusat Operasi Zon Maritim Miri.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot rekreasi berkenaan melakukan kesalahan di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 apabila menjalankan aktiviti memancing kurang daripada 500 meter radius dari pelantar minyak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tujuh individu termasuk seorang nakhoda, dua kru dan empat penumpang ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Selain itu menurut Khairol, bot tersebut turut gagal mengemukakan lesen bot yang sah semasa pemeriksaan dijalankan, sekali gus melanggar peruntukan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
“Ketika diperiksa, didapati bot itu dikendalikan seorang nakhoda bersama dua kru dan empat penumpang, kesemuanya warga tempatan berusia antara 22 hingga 74 tahun.
“Kesemua mereka ditahan dan bot diiring ke Pusat Tahan Vesel (PTV) Miri bagi siasatan lanjut,” katanya sambil memberitahu siasatan lanjut turut dilakukan berhubung kegagalan mengemukakan lesen bot yang sah.
Katanya, kesalahan menceroboh kawasan larangan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Khairol menegaskan Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan rondaan dan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan semua vesel mematuhi undang-undang serta menjamin keselamatan dan kedaulatan perairan negara.
Sumber : Utusan Borneo
|