Edited by Vellfire at 10-4-2026 10:16 PM

Nancy menandatangani plak perasmian Program Sinergi Kasih Wanita: Memperkasa Akar Umbi (Sektor Ketiga) di Kuching, semalam. - Gambar Mohd Faisal Ahmad
KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyifatkan penyebaran maklumat secara meluas dalam kalangan komuniti sebagai penting agar setiap wanita mendapat akses kepada inisiatif disediakan kerajaan.
Menterinya Dato Sri Nancy Shukri berkata, setiap wanita harus memanfaatkan sepenuhnya pelbagai perkhidmatan dan program bagi memastikan mereka tidak terlepas daripada peluang pembangunan dan pemerkasaan diri.
"Kita tidak mahu wanita terlepas daripada peluang yang ada dan lebih penting lagi, kita mahu mereka berkongsi maklumat ini bersama rakan serta ahli komuniti," ujarnya ketika berucap pada Program Sinergi Kasih Wanita: Memperkasa Akar Umbi (Sektor Ketiga) di sini, semalam.
Hadir sama ialah Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Dr Maziah Che Yusof, Senator Susan Chemerai Anding, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Hanani Sapit dan Ahli Majlis Wanita dan Keluarga Negara Datu Dr Rashidah Bolhassan.
Nancy berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau sektor ketiga memainkan peranan penting dalam ekosistem pembangunan masyarakat sebagai entiti yang paling hampir dengan rakyat.
"NGO mendengar denyut nadi komuniti dan sering menjadi yang pertama menyantuni mereka yang memerlukan.
"Saya melihat NGO sebagai penggerak perubahan daripada akar umbi dan pelengkap kepada usaha kerajaan.
"Apabila kerajaan dan NGO bergerak seiring, impaknya jauh lebih besar dan bermakna," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025-2030 menjadi komitmen kerajaan untuk memperkasa wanita secara menyeluruh, meliputi aspek ekonomi, kepimpinan, keselamatan dan kesejahteraan.
Katanya, wanita kini merangkumi hampir separuh penduduk Malaysia iaitu 16.3 juta atau 47.5 peratus daripada 34.3 juta penduduk, manakala di Sarawak jumlah wanita dianggarkan seramai 1.22 juta atau 48.8 peratus daripada populasi negeri.
"Statistik ini menunjukkan betapa besarnya potensi wanita dan betapa pentingnya memastikan mereka mendapat akses kepada peluang yang sewajarnya," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pelbagai program telah dilaksanakan melalui Jabatan Pembangunan Wanita antaranya Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS), Skuad Waja serta Agenda Women, Peace and Security (WPS).
"Program PERANTIS bertujuan membuka ruang kepada lebih ramai wanita membina keyakinan diri dan memperkukuh kemahiran kepimpinan, manakala Skuad Waja meningkatkan kesedaran mengenai isu buli, gangguan seksual dan keselamatan komuniti," jelasnya.
Selain itu katanya, NGO digalak memanfaatkan Bantuan Khas Perbendaharaan (BKP) bagi memperkukuh peranan mereka sebagai rakan strategik dalam pembangunan komuniti.
Dalam aspek kesihatan, Nancy berkata Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menyediakan perkhidmatan saringan HPV, mamogram serta program kesedaran kesihatan wanita di seluruh negara.
Pada masa sama katanya, kementerian turut memberi perhatian terhadap kesejahteraan mental masyarakat dengan menyediakan perkhidmatan kaunseling individu dan keluarga serta Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam setiap hari.
"Jika ada yang memerlukan bantuan atau mengenali individu yang memerlukannya, sila hubungi talian ini," katanya.
Beliau menambah, kekuatan Sarawak bukan sahaja terletak pada pembangunan fizikal, tetapi juga pada peranan wanita yang menjadi tonggak keluarga dan penggerak utama komuniti.
"Visi saya jelas, kita mahu melihat lebih ramai wanita tampil sebagai pemimpin, bebas dari segi kewangan dan tidak terikat oleh sebarang siling kaca.
"Tidak ada had kepada apa yang boleh dicapai oleh wanita," katanya.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan kerjasama lebih erat antara NGO dan kementerian serta agensi di bawahnya bagi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan memberi manfaat kepada wanita, keluarga dan komuniti.
|