
MOHD ZAKI
TAWAU: Pihak berkuasa digesa memberi tumpuan kepada usaha mengesan dalang sebenar di sebalik kegiatan sindiket penipuan dalam talian, bukan sekadar menahan individu di peringkat bawahan.
Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDDS), Mohd Zaki Harry Susanto berkata, tindakan menahan ‘ikan bilis’ semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah sekiranya dalang utama masih bebas menjalankan operasi.
Katanya, kejayaan menumpaskan sindiket yang menyamar sebagai anggota polis China dalam serbuan di sebuah resort di sini baru-baru ini wajar dipuji, namun pendekatan lebih menyeluruh perlu dilaksanakan.
“Penahanan kira-kira 80 individu dalam operasi itu membuktikan kegiatan ini bukan berskala kecil, sebaliknya tersusun dan sistematik.
“Justeru, usaha mengesan dan mengambil tindakan terhadap dalang utama amat penting bagi memutuskan rantaian jenayah ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, jika perkara itu tidak ditangani secara tuntas, sindiket terbabit berpotensi untuk terus beroperasi dengan merekrut individu baharu sebagai pengganti.
Dalam pada itu, Mohd Zaki turut melahirkan kebimbangan terhadap persepsi luar yang mula melabel Tawau sebagai ‘markas scammer’ susulan peningkatan kes penipuan dalam talian di daerah berkenaan.
Menurutnya, persepsi negatif tersebut boleh menjejaskan imej daerah serta memberi kesan kepada keyakinan pelabur dan sektor pelancongan tempatan.
“Label sebegini amat membimbangkan kerana ia mencalar reputasi Tawau dan memberi gambaran seolah-olah daerah ini menjadi pusat operasi sindiket penipuan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan tindakan bersepadu melibatkan pelbagai agensi termasuk memperkukuh risikan dan penggunaan teknologi bagi menjejaki rangkaian sindiket hingga ke peringkat tertinggi.
Pada masa sama, beliau mengingatkan golongan belia agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan lumayan yang sebenarnya merupakan taktik sindiket untuk merekrut ahli baharu.
“Belia perlu lebih berwaspada dan bijak membuat penilaian agar tidak terjebak dalam jenayah yang boleh merosakkan masa depan,” katanya.
Beliau turut menyeru kerjasama semua pihak termasuk keluarga dan komuniti dalam memperkukuh kesedaran serta pencegahan jenayah siber di peringkat akar umbi.
Sumber : Utusan Borneo
|