
KUCHING: Cubaan menyeleweng sejumlah kira-kira 26,500 liter minyak diesel berjaya dipatahkan dalam dua operasi berasingan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak di Sibu pada Selasa lalu.
Komander PPM Wilayah 5 Sarawak ACP Ab Rahman Mat Hasan (gambar) berkata, dalam operasi pertama, sepasukan pegawai dan anggota Markas Taktikal PPM yang menjalankan Op Taring Landai (Op Tiris) telah menahan sebuah lori tangki di tepi Jalan Getah di Sibu iaitu sekitar jam 12.30 tengah hari hingga 4.50 petang Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati lori tersebut membawa lebih kurang 16,000 liter minyak diesel yang disyaki cuba diseleweng dengan disimpan di dalam tangki di bahagian belakang kenderaan.
“Pemandu lori iaitu seorang lelaki warga tempatan gagal mengemukakan sebarang dokumen, permit atau kebenaran bertulis daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhubung pemilikan bahan kawalan tersebut,” katanya.

Anggota PPM Wilayah 5 Sarawak menjalan pemeriksaan dalam operasi itu.
Dalam kes berasingan, sepasukan anggota bot ronda PSC 12 PPM Wilayah 5 Sibu yang menjalankan Op Taring Pensura telah membuat pemeriksaan di kawasan parkir lori tangki di Tebingan Sungai Seduan, Sungai Merah di Sibu.
Hasil pemeriksaan menemui dua buah lori tangki yang mengandungi kira-kira 10,500 liter minyak diesel, dengan seorang lagi lelaki tempatan turut gagal mengemukakan sebarang dokumen sah daripada pihak KPDN.
“Keseluruhan rampasan (termasuk lori) bagi kedua-dua kes adalah sebanyak lebih kurang 26,500 liter minyak diesel dengan anggaran nilai RM415,750,” jelasnya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek bersama kenderaan dan muatan diesel telah ditahan untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada pihak KPDN Sibu untuk tindakan selanjutnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki, menyimpan atau membawa barang kawalan tanpa permit, lesen atau kebenaran khas.
Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM2 juta atau penjara atau kedua-duanya sekali.

Anggota PPM Wilayah 5 Sarawak menjalan pemeriksaan dalam operasi itu.
Sumber : Utusan Borneo
|