
BERCAKAP... Dr Sim mewakili Abang Johari ketika merasmikan Kempen Kesedaran Kanser Kolorektal di Ruang Foyer, DCC di Hospital Umum Sarawak
KUCHING: Lebih 60 peratus pesakit didiagnosis dengan kanser kolorektal pada peringkat lewat, khususnya tahap tiga dan empat, sekali gus menjadikan rawatan lebih mencabar serta mengurangkan peluang pemulihan yang berkesan.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, angka tersebut amat membimbangkan dan usaha berterusan penting kerana kanser kolorektal kekal antara kanser paling lazim yang menjejaskan populasi negara ini.
“Di Malaysia, kanser kolorektal merupakan antara tiga jenis kanser paling lazim. Statistik menunjukkan bahawa kanser ini paling kerap dalam kalangan lelaki dan kedua paling kerap dalam kalangan wanita.
“Risiko menghidap kanser kolorektal meningkat selepas usia 45 tahun. Namun, trend terkini menunjukkan peningkatan kes dalam kalangan individu lebih muda, sekali gus menjadikan kesedaran dan saringan awal lebih penting berbanding sebelum ini.
“Oleh itu, kesedaran awam mengenai kepentingan pengesanan awal perlu ditingkatkan, selain saringan berkala dan amalan gaya hidup sihat juga penting dalam mengurangkan beban kanser ini dalam komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian ketika merasmikan Kempen Kesedaran Kanser Kolorektal di Ruang Foyer, Pusat Rawatan Harian (DCC), Hospital Umum Sarawak, di sini hari ini.
Tambahnya, pencegahan awal penting dalam mengurangkan beban penyakit ini. Melalui kaedah saringan awal seperti Ujian Imunokimia Najis (FIT) dan kolonoskopi, penyedia penjagaan kesihatan dapat membuat pengesanan awal sebelum menjadi kanser.
Justeru katanya, memperkukuh program saringan, khususnya di peringkat klinik penjagaan kesihatan primer, merupakan langkah penting dalam pencegahan awal.
“Kedua, pengesanan awal dapat meningkatkan hasil rawatan dan kadar kelangsungan hidup dengan ketara. Melalui kempen kesedaran dan inisiatif saringan yang dijalankan di hospital serta fasiliti kesihatan komuniti, kita berharap lebih ramai individu tampil menjalani saringan dan mendapatkan rawatan seawal mungkin.
“Saya menggesa semua pihak, khususnya mereka yang berumur 50 tahun ke atas atau individu yang mempunyai sejarah keluarga kanser kolorektal supaya tidak menangguhkan saringan,” katanya.
Selain itu, mengamalkan gaya hidup sihat kekal sebagai salah satu cara paling berkesan untuk mengurangkan risiko kanser kolorektal.
“Pemakanan seimbang, pengurangan pengambilan makanan berlemak, aktiviti fizikal secara berkala serta mengelakkan tabiat merokok merupakan komponen penting dalam mengekalkan kesihatan kolorektal yang baik,” jelasnya.
Jelasnya, kanser kolorektal merupakan penyakit yang boleh dicegah, dikesan awal dan dirawat dengan berkesan jika tindakan diambil pada masa yang tepat.
“Kesedaran, saringan awal dan pilihan gaya hidup sihat memainkan peranan penting dalam mengurangkan beban penyakit ini dalam komuniti kita.
“Maka, kerjasama antara semua pihak termasuk profesional kesihatan, komuniti dan organisasi penting dalam menggalakkan saringan berkala serta menyokong mereka yang terkesan oleh kanser kolorektal.
“Bersama-sama, kita dapat mewujudkan komuniti yang lebih sihat dan memastikan nyawa dapat diselamatkan melalui pengesanan awal serta rawatan tepat pada masanya,” katanya.
|