
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menyerikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Foto TVS
KUCHING: Minyak Sarawak yang berkualiti tinggi dengan tahap sulfur rendah memberikan kelebihan strategik kepada negeri dalam pasaran tenaga global, kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.
Beliau berkata, minyak Sarawak yang rendah kandungan sulfur bukan sahaja memenuhi piawaian industri besar termasuk sektor penerbangan, malah boleh menjadi aset ekonomi penting kepada Sarawak dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran tenaga dunia.
“Minyak Sarawak mempunyai kandungan sulfur yang rendah, menjadikannya minyak berkualiti tinggi. Ia tidak sesuai digunakan untuk diesel, motosikal atau bot. Dengan ini, Allah memberkati kita dan menjadikan kita kuat.
“Kita mempunyai daya tahan negeri, dan melalui daya tahan ini, kita menyumbang kepada ketahanan nasional. Oleh itu, kita tidak terumbang-ambing menghadapi cabaran,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Dewan Undangan Negeri Sarawak 2026 di sini semalam.
Beliau menambah, keistimewaan ini bukan sahaja bernilai dari segi pengeluaran domestik, malah memberi peluang Sarawak untuk meneroka eksport ke peringkat antarabangsa.
Beliau turut menegaskan bahawa Sarawak terus memanfaatkan sumber lain seperti gas asli cecair (LNG) dan air serta meneroka tenaga alternatif seperti hidrogen untuk memastikan kelangsungan pembangunan lestari pada masa depan.
“Tahniah diucapkan kepada Premier Sarawak kerana mampu memikirkan solusi untuk menggantikan minyak kepada hidrogen.
“Dengan hidrogen ini, kita dapat memajukan negeri dan negara. Ini adalah kelebihan utama kita, selain daripada kestabilan politik dan perpaduan antara kaum,” jelasnya lanjut.
Majlis semalam diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Tengah Ali Hasan mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli-ahli Parlimen serta wakil agensi kerajaan dan swasta.– TVS
|