
Abang Johari bergambar bersama delegasi PKWPS yang mengadakan kunjungan terhadap beliau di Kompleks Satria Pertiwi, Kuching, hari ini. - Gambar UKAS
KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dilantik sebagai penaung bagi Pertubuhan Keturunan dan Waris Pengiran Sarawak (PKWPS).
Presiden PKWPS Dr Awang Nib Zuhairi Awang Ahmad berkata, pihaknya amat gembira dengan persetujuan Premier Sarawak untuk memegang peranan tersebut.
“Kami amat gembira apabila (Yang Amat Berhormat) Premier Abang Johari bersetuju untuk menjadi penaung kepada pertubuhan kami.
"Ini merupakan satu berita yang menggembirakan untuk dikongsikan,” katanya.
Memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Abang Johari di Kompleks Satria Pertiwi di sini, hari ini.
Menurut beliau, antara objektif utama penubuhan PKWPS adalah untuk memelihara salasilah keturunan Pengiran di Sarawak melalui pelaksanaan kajian bersama pihak berkepentingan.
Katanya, usaha tersebut termasuk membukukan sejarah perkembangan golongan Pengiran di Sarawak dengan kerjasama beberapa institusi berwibawa.
“Kajian ini akan melibatkan kerjasama dengan beberapa institusi seperti Universiti Brunei, Persatuan Sejarah Brunei, Pusat Sejarah Brunei serta institusi di Sarawak bagi memastikan kajian salasilah dan peranan Pengiran sepanjang kewujudan Sarawak dapat didokumentasikan dengan baik,” jelasnya.
Tambah beliau, kunjungan tersebut turut bertujuan memperkenalkan barisan kepimpinan baharu PKWPS bagi sesi Januari 2026 hingga Disember 2027.
|