
CHIEW
SIBU: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak menggesa supaya satu siasatan penuh dan telus dijalankan berhubung insiden kayak terbalik di Pantai Merdeka, Sungai Petani, Kedah baru-baru ini, yang meragut nyawa dua pelajar Sarawak berusia awal 20-an yang sedang menuntut di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Stanley Chiew turut menggesa pihak berkuasa untuk mendedahkan sepenuhnya laporan siasatan tanpa sebarang penyembunyian serta menamakan pihak dan individu yang bertanggungjawab.
"Laksanakan siasatan bebas, jangan hanya bergantung kepada siasatan dalaman.
"Jika perkara ini akhirnya hanya berakhir dengan keputusan siasatan ditutup tanpa sesiapa atau mana-mana pihak dipertanggungjawabkan, ia memberi mesej yang salah kepada masyarakat bahawa nyawa manusia boleh hilang tanpa sebarang akibat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau turut mempersoalkan pihak IPG mengapa keluarga mangsa tidak dimaklumkan dengan segera selepas kejadian, sebaliknya keluarga hanya mengetahui mengenai kemalangan serius itu melalui laporan di media sosial.
Chiew menyifatkan tragedi tersebut bukan sekadar kemalangan tetapi berpunca daripada kecuaian manusia dan kegagalan sistem.
"Menurut laporan media, aktiviti itu tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa maritim.
"Adakah prosedur keselamatan asas dipatuhi?
"Jika pemberitahuan paling asas pun tidak dibuat, bagaimana ini masih boleh dianggap sebagai ‘kemalangan’?," soalnya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada penilaian risiko telah dilakukan, sama ada jurulatih bertauliah dan penyelia yang sesuai disediakan serta sama ada keadaan cuaca dan air telah dinilai.
"Kegagalan dalam mana-mana satu aspek ini boleh membawa maut.
"Ini bukan sekadar kecuaian, ini adalah pengabaian tanggungjawab!," tegasnya.
Chiew berkata, aktiviti berasaskan air sememangnya berisiko tinggi dan institusi bertanggungjawab sepatutnya mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang menyeluruh serta mekanisme tindak balas kecemasan.
"Kejadian yang meragut nyawa ini jelas menunjukkan sistem telah gagal," katanya.
Beliau juga mempersoalkan sama ada sesiapa pernah dipertanggungjawabkan selepas insiden seperti itu berlaku.
"Setiap kali sesuatu berlaku, responsnya sama: siasatan, semakan, penambahbaikan.
"Tetapi izinkan saya bertanya, adakah sesiapa pernah dipertanggungjawabkan?," katanya.
Chiew menegaskan bahawa jika tiada pihak yang dipertanggungjawabkan, maka ‘keselamatan’ hanyalah slogan kosong.
"Jika tanggungjawab hanya dikendalikan secara dalaman tanpa ketelusan dan mekanisme akauntabiliti, ia secara tidak langsung menghantar mesej bahawa tiada akibat apabila sesuatu kesilapan berlaku,” katanya, sambil menekankan bahawa persoalan utama ialah siapa yang akan bertanggungjawab atas kehilangan dua nyawa itu.
Beliau menambah bahawa akauntabiliti bukan bermaksud mencari kambing hitam tetapi menetapkan batas yang jelas supaya setiap keputusan, tandatangan dan tindakan mempunyai akibat yang setimpal.
"Tanpa akibat, tiada perubahan," ujarnya.
Walaupun Pengarah Pendidikan telah mengarahkan penggantungan semua aktiviti berasaskan air, Chiew berkata masalah itu tidak berakhir di situ.
"Hari ini kayak, esok mungkin pendakian gunung, panjat pokok, perkhemahan luar atau mana-mana aktiviti luar universiti.
"Keadaan mungkin berbeza tetapi jika sistem tidak berubah, tragedi boleh berlaku lagi pada bila-bila masa.
"Tiada kenyataan rasmi yang mampu mengubah apa yang telah berlaku.
"Orang ramai hanya mahukan satu jawapan: siapa yang bertanggungjawab?
"Siapa yang akan dipertanggungjawabkan?" tambahnya.
Sehubungan itu, Chiew merakamkan ucapan takziah kepada dua mangsa Christopher Ling dari Kuching dan Joey Ling dari Sibu serta menzahirkan simpati kepada keluarga mereka.
Menurut laporan media, insiden tersebut berlaku semasa satu aktiviti luar anjuran pihak kolej yang melibatkan 35 pelajar IPG Kampus Perlis pada Sabtu.
|