CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: Vellfire

[Borneo] RUMAH BORAK BORNEO~JOM PORET

 Close [Copy link]
 Author| Post time 7-4-2026 02:22 PM | Show all posts
Pesta Sutati pertahan adat warisan, identiti kaum
April 6, 2026, Isnin - 3:50pm



KENANGAN: Joachim (lima kanan) bersama pemimpin tempatan dan tetamu jemputan merakamkan kenangan bersama para Tokoh Etnik sempena Pesta Sutati 2026.

RANAU: Budaya etnik masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) harus dipertahankan kerana ia merupakan adat warisan nenek moyang yang menjadi identiti sesuatu kaum.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam berkata, kelestarian adat dan budaya sejak turun-temurun wajar dipertahankan dan dikekalkan agar dapat diwarisi golongan muda.

"Generasi baharu khususnya anak-anak cucu dan cicit suku kaum KDMR juga perlu terus bersatu demi memastikan kelangsungan serta kemajuan bangsa kita diteruskan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Pesta Sutati (Sungai, Talantang dan Tinagas) di Kampung Wayan di sini pada Sabtu.

Joachim berkata, kepelbagaian budaya merupakan satu keunikan yang perlu dipertahankan dan diraikan bersama.

Menurutnya, penganjuran Pesta Sutati bersama Restu Mart merupakan satu usaha yang sangat baik dalam memperkasa adat dan budaya masyarakat tempatan di samping merapatkan lagi hubungan sesama komuniti.

Selain itu, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan Pesta Sutati 2026, yang bukan sahaja memartabatkan warisan budaya tetapi turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti setempat.

Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, turut menekankan sektor pelancongan antara penyumbang utama ekonomi.

Justeru katanya, program seumpama itu perlu dipelbagaikan bagi menarik kehadiran pelancong termasuk dari luar negara.

"Promosikan tempat-tempat menarik yang ada. Kerajaan negeri akan sentiasa memberikan bantuan melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS)," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, usaha menaik taraf infrastruktur jalan raya yang sedang dilaksanakan dijangka meningkatkan akses ke kawasan itu sekali gus merancakkan kehadiran pelancong.

Pesta yang kini memasuki edisi ketiga itu menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk Jualan Rahmah, pertandingan makanan etnik, Anugerah Tokoh Etnik, pertandingan Sugandoi serta pertandingan kereta lasak pacuan empat roda (4x4) yang berjaya menarik penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 7-4-2026 02:23 PM | Show all posts
Kejayaan syarikat tempatan Sabah jadi inspirasi usahawan lain
April 6, 2026, Isnin - 4:29pm



BERJAYA: Ewon ketika melawat kilang ketiga syarikat Norcy BeautyLab Sdn. Bhd yang diusahakan oleh Norsiah (kanan) selepas merasmikan pembukaan kilang itu hari ini.

KUDAT: Kejayaan usahawan wanita tempatan, Norsiah Ahiddin, membangunkan syarikat Norcy BeautyLab Sdn. Bhd. dari perniagaan kecil kepada sebuah perusahaan yang berkembang ke pasaran antarabangsa menjadi inspirasi kepada usahawan lain di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, pencapaian Norsiah membuktikan usahawan luar bandar juga mampu mencapai kejayaan dengan usaha gigih dan konsisten.

“Walaupun beliau (Norsiah) bermula dengan modal yang kecil, namun dengan adanya usaha bersungguh-sungguh, kini beliau berjaya membuka kilang ketiga di daerahnya sendiri.

“Saya mengikuti perkembangan kejayaan Norsiah sejak saya menerajui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah dan merasmikan kilang pertama beliau di sini ketika itu.

“Hari ini, saya merasmikan kilang ketiga Norcy BeautyLab. Saya berharap kejayaan Norcy boleh menjadi contoh dan inspirasi kepada usahawan lain, kerana beliau bukan sahaja berjaya membuka kilang di daerah sendiri, malah berkembang ke luar Sabah, termasuk ke Nilai, Negeri Sembilan,” katanya selepas merasmikan kilang Norcy BeautyLab, di Matunggong di sini hari ini.

Ewon berkata, produk Norcy BeautyLab kini turut menembusi pasaran antarabangsa termasuk Brunei, sekali gus membuktikan potensi besar usahawan tempatan untuk bersaing di peringkat global.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) sentiasa komited menyediakan pelbagai sokongan termasuk geran SME-UP serta pembiayaan bagi membantu usahawan menyertai ekspo antarabangsa.

“Kita mengalu-alukan penyertaan Norcy dalam ekspo antarabangsa bersama usahawan lain pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata, bantuan kerajaan kepada usahawan bukan sahaja meningkatkan kapasiti perniagaan, tetapi juga memberi pulangan kepada ekonomi setempat melalui peluang pekerjaan.

Sementara itu, Norsiah berkata, kejayaan yang dikecapi hari ini bermula daripada impian kecil yang direalisasikan melalui usaha berterusan, sokongan pasukan serta bantuan daripada pelbagai agensi kerajaan.

Beliau turut berkongsi cabaran yang dihadapi semasa pandemik COVID-19 apabila perniagaannya terjejas, namun mengambil inisiatif beralih kepada pengeluaran hand sanitizer bagi memenuhi permintaan semasa.

“Walaupun ketika itu jualan produk kecantikan merosot, kami tidak berputus asa. Kami menghasilkan sanitizer untuk dibekalkan kepada hospital dan kementerian, itu membantu syarikat saya terus bertahan,” katanya.

Mengimbas titik mula usaha beliau berkecimpung dalam bidang perniagaan, Norsiah berkata, perniagaannya bermula dengan modal hanya RM200 dari rumah sebelum membuka kilang pertama pada 2019.

“Jangan takut untuk bermula dari kecil kerana sesuatu yang besar itu bermula dengan langkah pertama,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-4-2026 02:23 PM | Show all posts
Ewon bangga pencapaian usahawan tempatan berjaya perluas perniagaan
April 6, 2026, Isnin - 4:33pm



TERBAIK: Ewon (dua kiri) bersama Norsiah (dua kanan) menunjukkan produk yang dihasilkan di kilang Norcy BeautyLab Sdn. Bhd selepas merasmikan pembukaan kilang itu hari ini.

KUDAT: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berbangga dengan pencapaian usahawan tempatan Sabah dalam memperluaskan perniagaan yang mereka usahakan sendiri.

Katanya, pencapaian usahawan wanita tempatan, Norsiah Ahiddin yang berjaya membuka kilang ketiga Norcy BeautyLab Sdn. Bhd. di Matunggong Kudat adalah sesuatu yang membanggakan.

Menurutnya, sebelum ini, Norsiah membuka mini kilang pertama di Pusat Keusahawanan Matunggong serta kilang kedua di Nilai, Negeri Sembilan.

Ewon berkata, pembukaan kilang ketiga itu merupakan satu pencapaian membanggakan bukan sahaja kepada usahawan berkenaan, tetapi juga kepada pembangunan sektor keusahawanan di Sabah.

“Kejayaan ini membuktikan usahawan tempatan mampu berkembang daripada skala kecil kepada perusahaan yang lebih besar sehingga menembusi pasaran luar negeri,” katanya ketika berucap merasmikan kilang itu, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui kementeriannya akan terus memberikan sokongan kepada usahawan tempatan, termasuk bantuan geran, pembiayaan serta peluang penyertaan dalam ekspo perdagangan.

Menurutnya, usaha itu selaras dengan aspirasi 'Sabah First', iaitu melahirkan lebih ramai rakyat Sabah yang berpendapatan sama ada sebagai pemilik perniagaan atau tenaga kerja.

Katanya, pembukaan kilang itu turut memberi impak positif kepada ekonomi setempat dengan menyediakan sekurang-kurangnya 15 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Pada majlis itu, Ewon turut berkesempatan membeli produk keluaran Norcy BeautyLab untuk dikongsikan bersama rombongan yang hadir.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-4-2026 02:24 PM | Show all posts
Pengguna perlu berdisiplin ketika berbelanja
April 7, 2026, Selasa - 8:48am



KEVY

KOTA KINABALU: Masyarakat negara ini diminta agar tidak panik serta sentiasa berdisiplin ketika berbelanja agar mampu menghadapi kos sara hidup yang semakin mencabar.

Presiden Kebangsaan Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Dato Paduka Dr Kevy Kv Yeo berkata, Malaysia kini berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin mencabar, susulan pelarasan harga bahan api, tenaga dan barangan makanan.

"Berdasarkan data rasmi kerajaan, harga diesel di Semenanjung Malaysia pernah meningkat sehingga sekitar RM3.35 seliter selepas rasionalisasi subsidi pada Jun 2024.

"Manakala petrol RON95 bagi pasaran umum kini berada pada sekitar RM 3.87 seliter.

"Dalam masa sama, data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan peningkatan inflasi dalam beberapa komponen utama termasuk makanan dan utiliti, yang memberi kesan langsung kepada perbelanjaan isi rumah," katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu katanya MTPN mahu  menegaskan tiga perkara penting kepada seluruh pengguna Malaysia agar mampu mengelakkan pembelian panik, menghentikan pembaziran dan mengamalkan perbelanjaan berhemah.

Katanya, pembelian panik hanya akan mempercepatkan kenaikan harga di pasaran akibat gangguan rantaian bekalan. Tindakan ini akhirnya merugikan pengguna sendiri, terutama golongan B40 dan M40.

"Dalam keadaan kos meningkat, setiap isi rumah perlu menilai semula keutamaan perbelanjaan.

"Statistik menunjukkan sebahagian besar kenaikan inflasi datang daripada keperluan asas, justeru pembaziran mesti dihentikan serta-merta.

"Gunakan pendekatan 'perlu, bukan mahu'. Rancang perbelanjaan bulanan, banding harga, dan utamakan keperluan asas keluarga," katanya.

Menurutnya, realiti ekonomi yang perlu difahami rakyat ialah harga bahan api Malaysia kini ditentukan secara mingguan melalui mekanisme harga automatik (APM) yang dipengaruhi oleh pasaran global subsidi bahan api negara boleh mencecah sehingga RM3.2 bilion sebulan dalam keadaan harga minyak global tidak stabil.

Katanya, rasionalisasi subsidi dijangka menjimatkan kerajaan sekitar RM2.5 sehingga RM4 bilion setahun, yang boleh disalurkan kepada bantuan rakyat.

"Ini bermakna cabaran ini bukan bersifat sementara, tetapi memerlukan
perubahan sikap dan pendekatan pengguna.

"Selain menggalakkan pembelian produk tempatan, MTPN menyokong usaha kerajaan dan mencadangkan pengukuhan mekanisme penstabilan harga secara bersasar.

"Pelaksanaan 'Price Stabilisation Mechanism' (PSM) untuk barangan asas kerajaan boleh memperluaskan kawalan harga bersasar bagi sayursayuran kritikal dan bahan makanan harian bagi tempoh tertentu.

"Subsidi bersasar berasaskan data masa nyata untuk menyalurkan subsidi automatik kepada pengguna rentan tanpa ketirisan," katanya.

Selain itu katanya, kurangkan kos pengangkutan melalui subsidi diesel bersasar kepada sektor makanan bagi menstabilkan harga di peringkat pengguna.

"Wujudkan dashboard harga pengguna secara masa nyata supaya rakyat boleh membuat perbandingan dan peniaga lebih bertanggungjawab.

"Gerakan kesedaran berskala besar melibatkan NGO, koperasi dan sektor swasta untuk mendidik rakyat tentang pengurusan kewangan," katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-4-2026 02:25 PM | Show all posts
Qhazanah Sabah Berhad perlu terus diperkasa
April 7, 2026, Selasa - 8:55am



ALBUM: Masidi (empat kanan), Anifah (tiga kiri) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan.

KOTA KINABALU: Qhazanah Sabah Berhad perlu terus menambah baik serta memperkukuh perancangan strategik organisasi bagi memastikan pengurusan aset dan pelaburan negeri dilaksanakan secara lebih cekap, telus dan berimpak tinggi.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, langkah itu penting dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa yang semakin kompleks.

Katanya, usaha itu juga memastikan setiap inisiatif yang dirangka mampu memberi pulangan mampan kepada negeri serta manfaat langsung kepada rakyat.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Qhazanah Sabah juga perlu lebih proaktif dalam meneroka peluang baharu, termasuk dalam sektor-sektor berpotensi tinggi seperti teknologi, tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi digital, selaras dengan aspirasi pembangunan jangka panjang Sabah.

Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat daripada Qhazanah Sabah yang diketuai oleh Pengerusinya, Tan Sri Anifah Aman, di sini kelmarin.

Pada masa sama, beliau turut menitikberatkan tadbir urus yang baik, pemantauan berterusan serta pendekatan inovatif dalam setiap pelaksanaan projek agar setiap pelaburan yang dibuat benar-benar memberi nilai tambah kepada ekonomi negeri.

Menurutnya, Kementerian Kewangan Sabah sentiasa menyokong segala usaha penambahbaikan dan pengukuhan strategi yang dilaksanakan oleh Qhazanah Sabah, khususnya dalam memastikan setiap perancangan selari dengan dasar kewangan negeri serta mampu memperkukuh kedudukan fiskal Sabah secara keseluruhan.

Terdahulu, kunjungan berkenaan membincangkan pembentangan bertajuk 'Arah Strategik dan Hala Tuju Qhazanah Sabah Berhad' yang memfokuskan kepada perancangan masa depan serta strategi pengukuhan peranan agensi itu dalam memperkasa ekonomi negeri.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-4-2026 02:26 PM | Show all posts
SOSHF sambut baik usaha wujudkan IJN Sabah
April 7, 2026, Selasa - 9:09am



EVA

KOTA KINABALU: Persatuan Tabung Pesakit Jantung Sabah (SOSHF) memuji usaha kerajaan negeri yang bakal mewujudkan Hospital Institut Jantung Negara (IJN) di negeri ini.

Presiden SOSHF, Datuk Eva Susau berkata, usaha berkenaan mencerminkan komitmen yang kukuh dan tepat pada masanya dalam memperkasakan penjagaan kesihatan untuk rakyat Sabah.

"Seiring dengan perkembangan inisiatif ini, SOSHF dengan penuh hormat menggesa agar perkhidmatan kardiologi pediatrik, terutamanya bagi kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung kongenital (CHD) dijadikan keutamaan sebagai teras utama pusat baharu ini.

"Selama lebih 44 tahun, SOSHF telah menyokong kanak-kanak dari komuniti paling terdedah di Sabah.

"Ramai dilahirkan dengan kecacatan jantung kongenital yang memerlukan diagnosis awal, intervensi pembedahan tepat pada masanya serta penjagaan jangka panjang.

"Namun, pada hari ini, ramai keluarga masih berdepan perjalanan jarak jauh, kelewatan rawatan serta beban kewangan dan emosi," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, cadangan penubuhan pusat IJN Sabah di Likas turut membawa makna kepada rumah transit SOSHF yang baharu ditubuhkan kerana ia terletak dalam jarak berjalan kaki.

Katanya, kemudahan itu akan menyediakan tempat perlindungan yang selamat dan menyokong untuk pesakit serta keluarga, terutamanya dari kawasan luar bandar bagi memastikan akses lebih mudah kepada rawatan, rehat dan pemulihan sepanjang tempoh rawatan.

Menurutnya, SOSHF menegaskan bahawa sebuah pusat jantung yang benar-benar komprehensif mesti merangkumi unit kardiologi pediatrik dan pembedahan kardiotorasik.

"Mesti merangkumi perkhidmatan penjagaan jantung untuk bayi baru lahir. Sistem saringan awal dan rujukan di seluruh Sabah, termasuk komuniti luar bandar.

"Serta Sokongan kewangan mampan untuk keluarga berpendapatan rendah.

“Ia bukan sekadar membina sebuah hospital tetapi membina keadilan dalam penjagaan kesihatan,” katanya.

Beliau menegaskan SOSHF akan terus komited untuk bekerjasama dengan kerajaan dan rakan-rakan penjagaan kesihatan bagi memastikan tiada kanak-kanak yang tercicir.

“Sepatutnya, tiada kanak-kanak di Sabah terpaksa meninggalkan rumah untuk berjuang demi kehidupan mereka," katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 7-4-2026 02:27 PM | Show all posts
Lapan tan bateri kereta, e-waste tanpa lesen bernilai RM720,998 disita
April 7, 2026, Selasa - 9:29am



RAMPAS: Rampasan bateri kereta dan e-waste yang disimpan secara haram bernilai RM720,998.

KOTA KINABALU: Kegiatan menyimpan bateri kereta dan sisa elektronik (e-waste) secara haram terbongkar selepas serbuan bersepadu dijalankan menerusi Op Hazard.

Operasi itu melibatkan Pasukan Polis Marin (PPM) bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Serbuan dilaksanakan serentak di seluruh negara dengan dua lokasi di Sabah dikenal pasti di Penampang dan Sandakan.

Kedua-dua premis dipercayai dijadikan pusat penyimpanan barang lusuh serta e-waste tanpa lesen sah.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman, berkata tindakan diambil hasil risikan dan pemantauan pihak berkuasa.

Menurutnya, serbuan di Penampang menemukan kira-kira lapan tan bateri kereta yang disimpan secara tidak sah.

“Di Sandakan pula, pelbagai barangan e-waste turut dirampas termasuk bateri kereta, peralatan komputer, mesin basuh serta barangan elektrik lain.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua premis gagal mengemukakan dokumen sah bagi aktiviti penyimpanan dan perniagaan barang lusuh serta sisa elektronik,” katanya dalam kenyataan di sini.



HARAM: Premis tidak mempunyai dokumen sah bagi aktiviti penyimpanan dan perniagaan barang lusuh serta sisa elektronik.

Menurutnya, semakan oleh LHDN turut mendapati terdapat premis yang tidak dapat mengemukakan dokumen percukaian lengkap.

“Kes diserahkan kepada JAS untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Sisa Terjadual) 2005 serta Seksyen 77A(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM720,998,” katanya.

Ahmad berkata, pihaknya akan terus komited membanteras sebarang aktiviti haram yang boleh mencemarkan alam sekitar serta menyebabkan ketirisan hasil negara.

“Operasi seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan negara terus terpelihara,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-4-2026 02:28 PM | Show all posts
Lori mencurigakan rupanya kenderaan hilang di Tawau
April 7, 2026, Selasa - 11:43am



HILANG: Lori yang ditemui dalam keadaan mencurigakan dipercayai merupakan kenderaan yang dilaporkan hilang.

TAWAU: Sebuah lori yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di Kampung Titingan, di sini, membawa kepada penemuan semula kenderaan yang dilaporkan hilang, semalam.

Kejadian kira-kira jam 1.15 petang itu dikesan sepasukan anggota Strike Team Balai Polis Tawau ketika menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pasukan berkenaan terserempak dengan sebuah lori yang ditinggalkan tanpa pemandu sebelum membuat pemerhatian di lokasi.

Katanya, lori itu berada dalam keadaan mencurigakan menyebabkan anggota bertugas mengambil keputusan untuk melakukan pemantauan lanjut.

“Pasukan polis membuat pemerhatian selama kira-kira satu jam bagi mengesan mana-mana individu yang datang menghampiri kenderaan itu, namun tiada sesiapa tampil.

“Pemeriksaan lanjut kemudian menemukan satu alat kawalan jauh bersama anak kunci yang diletakkan di dalam lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati laporan kehilangan lori tersebut telah dibuat sebelum ini di Balai Polis Tawau.

“Lori bersama alat kawalan jauh itu kemudiannya dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan serta siasatan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Jasmin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan kenderaan diparkir di tempat selamat selain mengambil langkah keselamatan sewajarnya bagi mengelakkan kejadian kecurian.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 7-4-2026 02:28 PM | Show all posts
Kanak-kanak terkunci dalam kereta berjaya diselamatkan
April 7, 2026, Selasa - 11:54am

LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun berdepan detik cemas apabila terkunci di dalam sebuah kereta di Jalan Reno Fajar, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.28 malam itu, mangsa, dilaporkan berada bersendirian di dalam kenderaan jenis Mitsubishi sedan sebelum orang awam menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 sebelum sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 7.35 malam, kira-kira dua kilometer dari balai.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebuah kereta dalam keadaan terkunci dengan seorang kanak-kanak lelaki berada di dalamnya.

“Pasukan bomba kemudian bertindak membuka pintu kenderaan menggunakan peralatan khas bagi memastikan keselamatan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada ibunya.

“Operasi ditamatkan pada jam 7.43 malam selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-4-2026 02:29 PM | Show all posts
BIMP-EAGA Games 2026 perkukuh perpaduan serantau, perkasa belia
April 7, 2026, Selasa - 12:29pm



ALBUM: Nizam (enam dari kanan), Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Seri Anil Sandhu bersama pengerusi serta jawatankuasa penganjur.

KOTA KINABALU: Penganjuran BIMP-EAGA Friendship Games 2026 dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh perpaduan serantau serta memperkasa golongan belia melalui sukan.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, temasya itu bukan sekadar medan persaingan, sebaliknya menjadi ruang mengeratkan hubungan antara negara anggota BIMP-EAGA iaitu Brunei Darussalam, Indonesia, Filipina dan Malaysia.

Katanya, penyertaan lebih 3,000 atlet dan pegawai membuktikan semangat kebersamaan serta perpaduan yang menjadi teras utama penganjuran.

“Temasya ini menghimpunkan atlet bawah 21 tahun yang bertanding dalam sembilan acara termasuk olahraga, renang, badminton, sepak takraw dan e-sukan, selaras dengan perkembangan minat belia masa kini.

“Sukan adalah platform penting dalam membentuk sahsiah, memupuk disiplin serta melahirkan generasi muda yang berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri komited memperkukuh pembangunan belia dan sukan sebagai pemacu kepada kemajuan sosial serta ekonomi negeri.

Nizam turut mengalu-alukan kehadiran peserta untuk merasai kepelbagaian budaya dan keindahan Sabah, selain menegaskan nilai kesukanan, disiplin dan saling menghormati kekal menjadi teras utama temasya berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Tetap kementerian yang juga Pengerusi Penganjur, Datuk Mansur Asun berkata, penganjuran temasya itu menjadi medium penting dalam membentuk kepimpinan dan jati diri dalam kalangan belia.

Menurutnya, sukan juga berperanan sebagai penghubung yang merapatkan hubungan antara negara anggota selain memperkukuh kerjasama serantau.

“Sabah berbangga menjadi tuan rumah dan pelbagai persiapan rapi telah dilaksanakan bagi memastikan kelancaran temasya ini.

“Kami berharap penganjuran ini bukan sahaja berjalan lancar, malah memberi pengalaman bermakna kepada semua peserta,” katanya.

Pertandingan berlangsung di beberapa lokasi sekitar Kota Kinabalu termasuk Kompleks Sukan Likas, Pusat Akuatik Likas serta beberapa fasiliti sukan lain.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-4-2026 02:31 PM | Show all posts
Konvokesyen bukan penamat, tapi permulaan perjalanan baharu - Abdul Hussin
April 7, 2026, Selasa - 2:03pm



TAHNIAH: Abdul Hussin bersama pelajar yang diraikan dalam majlis konvokesyen berkenaan.

TAWAU: Majlis konvokesyen bukan sekadar simbolik penganugerahan sijil, sebaliknya menjadi pengiktirafan terhadap usaha gigih, kesabaran dan ketekunan pelajar sepanjang menempuh cabaran akademik.

Pengetua SMK Madai, Abdul Hussin Madjakinal, berkata kejayaan yang diraih para pelajar hari ini adalah hasil usaha berterusan selain sokongan padu daripada guru dan ibu bapa yang sentiasa memberi dorongan serta bimbingan.

Beliau berkata, majlis konvokesyen juga menandakan berakhirnya satu fasa pembelajaran dan permulaan kepada perjalanan baharu yang lebih mencabar dalam kehidupan.

“Konvokesyen ini bukan noktah penamat, sebaliknya permulaan kepada cabaran yang lebih besar. Gunakanlah ilmu yang diperoleh sebagai bekalan untuk melangkah lebih jauh sama ada ke menara gading mahupun alam kerjaya.

“Para pelajar perlu menjadi generasi berilmu, berakhlak mulia serta mampu menyumbang kepada agama, bangsa dan negara,” katanya

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Konvokesyen Pusat Tingkatan Enam SMK Madai Sesi Akademik 2024-2026 Kali Ke-14, di sini.

Abdul Hussin turut merakamkan penghargaan kepada barisan pentadbir serta guru Tingkatan Enam yang komited dalam memastikan kecemerlangan akademik dan sahsiah pelajar.

Katanya, pengorbanan guru yang sentiasa mencurahkan masa dan tenaga demi kejayaan pelajar wajar dikenang sepanjang hayat.

Dalam pada itu, beliau berharap majlis berkenaan dapat menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.

“Pepatah ‘berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian’ amat sesuai dijadikan pegangan dalam kehidupan seorang pelajar,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-4-2026 02:31 PM | Show all posts
Lelaki dipenjara tiga tahun miliki 570 sisik penyu
April 7, 2026, Selasa - 2:24pm

TAWAU: Seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 570 keping sisik penyu.

Tertuduh berusia 65 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

Mengikut kertas pertuduhan, kesalahan dilakukan kira-kira jam 9.05 pagi pada 15 November 2025 di sebuah premis di Bandar Semporna, Jalan Datu Jakarullah.

Dia didapati memiliki 570 keping sisik penyu daripada spesies Eretmochelys imbricata yang merupakan haiwan dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah subseksyen 41(1) enakmen berkenaan yang boleh dihukum di bawah subseksyen 41(4) serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, peruntukan berkenaan membawa hukuman denda antara RM50,000 hingga RM250,000 serta penjara minimum satu tahun dan maksimum lima tahun.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun terhadap tertuduh.

Dalam prosiding sama, mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa, Primus Lambut manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-4-2026 02:32 PM | Show all posts
Hajiji komited tingkat kualiti program pendidikan Sabah
April 7, 2026, Selasa - 2:25pm



KUNJUNGAN: Hajiji dan Lo bersama delegasi JPNS diketuai Raisin semasa kunjungan hormat di Menara Kinabalu pada Isnin.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor terus komited dalam memperkukuh usaha kerajaan negeri untuk sektor pendidikan di negeri ini.

Katanya, usaha itu turut mengutamakan peningkatan kualiti pembelajaran, memperkasa pengurusan sekolah serta memastikan pembangunan holistik murid di seluruh Sabah.

Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama strategik dan berterusan antara kerajaan negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS).

Menurutnya, langkah itu bagi memastikan setiap dasar serta inisiatif pendidikan dapat dilaksanakan secara efektif dan menyeluruh.

"Hubungan erat ini penting dalam usaha memperkasa sektor pendidikan negeri, seterusnya melahirkan modal insan berkualiti dan berdaya saing,” katanya.

Hajiji berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat delegasi JPNS yang diketuai Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin di Menara Kinabalu di sini, pada Isnin.

Dalam pertemuan itu, Raisin menyampaikan taklimat mengenai program utama JPNS bagi tahun ini dan perancangan tahun hadapan.

Ia termasuk perkembangan serta pencapaian memberangsangkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pelajar di negeri ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Indang Kasi Sibin; Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Krishna KS @ Mohd Fadzli Abd Rozan; Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Muddin Beting; Ketua Penolong Pengarah Kanan, Salleh Linggam; serta Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-4-2026 02:32 PM | Show all posts
Sbh - Hajiji komited tingkat kualiti program pendidikan Sabah

Swk - Sabah berhadapan cabaran bekalan tenaga: Fadillah

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-4-2026 02:34 PM | Show all posts
Persatuan Biannah satukan 15 kampung, perkukuh identiti komuniti
April 5, 2026, Ahad - 10:42am



Dr Jerip menerima cenderamata pada majlis Makan Malam Persatuan Biannah 2026 di Siburan, malam Sabtu.

KUCHING: Penyatuan 15 kampung suku kaum Bidayuh Biannah sejak penubuhan Persatuan Biannah pada 2012 terus menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh perpaduan serta memacu pembangunan komuniti.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) Jerip Susil berkata, persatuan itu memainkan peranan penting sebagai platform penyatuan masyarakat Biannah merangkumi 15 kampung, sekali gus memastikan identiti, sejarah dan asal-usul komuniti terus dipelihara.

“Penubuhan Persatuan Biannah bukan sahaja menyatukan 15 kampung, tetapi turut memastikan identiti, sejarah dan asal-usul komuniti terus dipelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Makan Malam Persatuan Biannah 2026 di Siburan, malam Sabtu.

Dr Jerip berkata, Kampung Annah Rais sebagai pusat asal perkembangan masyarakat Biannah mempunyai nilai sejarah tinggi dengan penempatan berusia lebih 200 tahun.

“Ia sekali gus menjadi titik permulaan penyebaran komuniti ke kampung lain seperti Kampung Sebakar, Kampung Sebuang, Kampung Semuti dan Kampung Sadir,” ujarnya.

Dr Jerip yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong turut menekankan kepentingan pembangunan terancang dan strategik termasuk menaik taraf infrastruktur jalan raya, khususnya laluan Tebedu–Semuti–Sadir.

“Penaiktarafan laluan Tebedu–Semuti–Sadir akan membuka akses lebih luas kepada pembangunan ekonomi dan sosial penduduk luar bandar,” ujarnya.

Selain itu, katanya, dalam usaha memperkasa sektor pelancongan, kerajaan turut menyalurkan kira-kira RM8 juta bagi pembangunan produk pelancongan di Kampung Annah Rais.

“Ini merangkumi pembangunan waterfront, program pelancongan komuniti, pembinaan amfiteater serta rumah pameran budaya.

“Pembangunan pelancongan berasaskan budaya ini bukan sahaja memberi limpahan ekonomi kepada Kampung Annah Rais, malah turut memberi manfaat kepada kampung sekitar melalui kesan rantaian,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Biannah Simbas Mair berkata, persatuan tersebut ditubuhkan bagi menyatukan komuniti, memperkukuh pengurusan serta menjaga kebajikan ahli termasuk bantuan bencana, kematian dan sokongan pendidikan.

“Majlis makan malam ini bukan bertujuan mengumpul dana, sebaliknya menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim serta memperkukuh jaringan komuniti dalam kalangan masyarakat Biannah,” ujarnya.

Sejak penubuhannya, katanya, persatuan berkenaan telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan termasuk peruntukan kebajikan, sokongan pendidikan serta pelaksanaan inisiatif pembangunan komuniti yang memberi manfaat kepada penduduk di 15 kampung terlibat.

Turut hadir, Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Padawan Julius Scott Sapong dan Pemanca Bidayuh Daerah Kuching Raymond Jihap.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-4-2026 02:35 PM | Show all posts
18 sertai kursus AI anjuran Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu
April 5, 2026, Ahad - 10:52am



Para peserta yang berjaya menamatkan kursus "AI Untuk Semua: Pengurusan Maklumat & Tugasan Harian" di Sibu pada Sabtu. - Gambar Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu

SIBU: Seramai 18 orang telah menyertai kursus "AI Untuk Semua: Pengurusan Maklumat & Tugasan Harian" anjuran Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu pada Sabtu.

Menurut satu kenyataan, program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) itu bertindak sebagai pemangkin transformasi komuniti melalui pendedahan aplikasi Google NotebookLM dan Gemini.

"Program ini turut menarik minat peserta luar daerah termasuk empat orang dari Bintulu dan dua orang dari Bintangor.

"Salah seorang peserta menyatakan bahawa kemahiran AI yang dipelajari amat membantu tugasannya, terutama dalam penyediaan slaid ceramah secara pantas," kata kenyataan itu.



Para peserta ketika menyertai sesi kursus "AI Untuk Semua: Pengurusan Maklumat & Tugasan Harian" di Sibu pada Sabtu. - Gambar Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu

Selari dengan inisiatif 'TVET for All' oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), institusi kini membuka pengambilan pelajar baharu bagi Program Sijil Pengembaraan Pelancongan (SPL) Sesi I 2026/2027.

Program itu ditawarkan kepada lepasan SPM yang lulus Bahasa Melayu dan Sejarah serta memiliki satu kredit dalam mana-mana subjek, dengan yuran pengajian RM200 setiap semester.

Calon boleh memohon melalui UPUOnline sehingga 12 April 2026, manakala urusan hadir terus (walk-in) dibuka mulai 13 April hingga 21 Ogos 2026 di kampus Sibu.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi Ahmad Shuhaib (019-4704980) atau Nurmawati (013-5622433).


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 7-4-2026 02:36 PM | Show all posts
295 kakitangan BDA sertai ceramah motivasi tingkat produktiviti
April 5, 2026, Ahad - 11:00am



Kakitangan dan pegawai BDA yang menyertai ceramah merakam gambar bersama penceramah.

BINTULU: Seramai 295 kakitangan kumpulan pelaksana Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) menghadiri ceramah motivasi bertajuk ‘Work Hard vs Work Smart: Mana Lebih Hebat?’ di Auditorium BDA, Wisma Bintulu baru-baru ini.

Jurucakap BDA berkata, ceramah tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan bekerja secara efektif melalui keseimbangan antara bekerja keras dan bekerja secara bijak.

Menurutnya, ceramah itu dikendalikan oleh AC Interactive Solution dengan menjemput Azlin Latiff sebagai penceramah.



Azlin (kiri) sedang menyampaikan ceramah motivasinya.

Tambahnya, Azlin merupakan jurulatih berpengalaman lebih 25 tahun dalam bidang latihan, pembangunan profesional dan transformasi organisasi.

"Azlin telah berkongsi pelbagai input berkaitan strategi meningkatkan produktiviti, kecekapan kerja serta pembentukan budaya kerja cemerlang," katanya dalam kenyataan di sini.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa program berkenaan diisi dengan sesi interaktif yang memberi peluang kepada peserta memperoleh pemahaman lebih mendalam mengenai topik yang dibincangkan.

Secara keseluruhannya, katanya, program tersebut berjaya memberi inspirasi serta nilai tambah kepada peserta dalam memperkukuh prestasi kerja dan pembangunan diri.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-4-2026 02:37 PM | Show all posts
Tiong gesa isu bekalan air di Sibu Jaya ditangani segera
April 5, 2026, Ahad - 11:09am



SIBU: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak digesa segera mengemukakan pelan penyelesaian yang benar-benar berkesan bagi menangani masalah gangguan bekalan air yang semakin meruncing di kawasan Sibu Jaya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Datuk Seri Tiong King Sing (gambar) berkata, isu tersebut bukan lagi kes terpencil sebaliknya telah menjadi krisis yang menjejaskan kehidupan harian penduduk secara menyeluruh.

Menurut beliau, hasil turun padang ke Sibu Jaya pada Sabtu untuk berziarah Raya bertukar menjadi sesi mendengar aduan rakyat, apabila hampir setiap rumah yang diziarahi membangkitkan masalah sama iaitu gangguan bekalan air yang berlarutan.

“Ini bukan lagi isu kecil. Penduduk hidup dalam kesusahan apabila terpaksa membeli air mineral untuk kegunaan harian termasuk memasak. Peniaga juga terjejas kerana tidak dapat menjalankan operasi seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut mendedahkan aduan penduduk mengenai situasi tidak munasabah apabila meter air masih mencatat penggunaan walaupun bekalan air tiada, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap sistem pemantauan dan caj yang dikenakan.

Tiong menjelaskan bahawa isu berkenaan telah berulang kali dibangkitkan termasuk dalam sidang Dewan Undangan Negeri pada November 2023, namun sehingga kini tiada penyelesaian konkrit dilaksanakan.

“Yang diterima hanyalah penafian dan dakwaan kononnya masalah ini tidak wujud, sedangkan realitinya gangguan air telah berlarutan puluhan tahun,” tegasnya yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

Dalam masa sama, penduduk turut meluahkan rasa kecewa apabila pihak berkuasa dilihat mampu menyediakan bekalan air mencukupi untuk acara tertentu seperti pesta, tetapi gagal memenuhi keperluan asas rakyat.

Tiong turut mempersoalkan status pelaksanaan projek naik taraf loji rawatan air Salim serta projek berkaitan di Sibu Jaya yang sebelum ini diumumkan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi pada tahun 2024.

“Sehingga hari ini, rakyat masih berdepan masalah sama. Persoalannya, adakah janji tersebut sekadar untuk meredakan keadaan ketika itu?” katanya.

Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Bintulu, kegagalan menyediakan bekalan air stabil mencerminkan kelemahan dalam memastikan keperluan asas rakyat dipenuhi, sekali gus menjejaskan keyakinan terhadap pelaksanaan pembangunan lain.

Tiong turut menyampaikan hasrat penduduk agar Julaihi turun padang ke Sibu Jaya untuk melihat sendiri situasi sebenar dan mendengar keluhan rakyat secara langsung.

Beliau menambah, golongan paling terkesan adalah penghuni rumah kos rendah dan pangsapuri kos rendah yang kini berdepan tekanan hidup lebih besar akibat masalah berkenaan.

Sehubungan itu, beliau turut menggesa Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg supaya campur tangan secara langsung bagi memastikan tindakan segera diambil oleh agensi berkaitan.

“Rakyat hanya mahukan satu perkara asas – bekalan air yang stabil. Masalah ini tidak boleh lagi ditangguhkan dan mesti diselesaikan secara menyeluruh,” tegasnya.

Beliau menegaskan bahawa slogan pembangunan dan komitmen terhadap kesejahteraan rakyat perlu diterjemahkan melalui tindakan nyata, khususnya dalam memastikan infrastruktur asas seperti bekalan air berada pada tahap memuaskan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-4-2026 02:39 PM | Show all posts
29 projek pembangunan pacu kemajuan Kampung Baru
April 5, 2026, Ahad - 11:25am



Safiee ketika menghadiri Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri 2026 di Kampung Baru, semalam. - Gambar UKAS

DARO: Kampung Baru terus menikmati arus pembangunan di bawah kepimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Dr Safiee Ahmad, dengan pelaksanaan puluhan projek untuk manfaat penduduk.

Menurutnya, Kampung Baru telah menerima sebanyak 29 projek berimpak besar dengan jumlah peruntukan mencecah RM10.53 juta sejak beliau diberi mandat sebagai wakil rakyat kawasan tersebut.

"Ini belum termasuk pelaksanaan pelbagai projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) yang turut memberi manfaat besar kepada penduduk," ujarnya.



Safiee bersalaman sambil bertanya khabar tetamu pada Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri 2026 di Kampung Baru, semalam. - Gambar UKAS

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri 2026 anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Baru, semalam.

Safiee memberitahu, pembangunan di Kampung Baru turut melibatkan penyediaan kemudahan asas dan prasarana komuniti.

"Pada peringkat awal, kampung tersebut hanya mempunyai sebuah surau bersifat sementara, namun kini telah memiliki surau baharu yang turut dinaik taraf bagi keselesaan penduduk," jelasnya.



Safiee ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri 2026 di Kampung Baru, semalam. - Gambar UKAS

Selain itu, katanya, sebuah dewan serbaguna turut dibina bagi kegunaan pelbagai aktiviti masyarakat.

Pada majlis berkenaan, Safiee turut merasmikan gelanggang futsal yang telah diusulkan oleh golongan belia kampung pada tahun lalu, sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan generasi muda.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada penduduk Kampung Baru atas komitmen dan kerjasama dalam menjayakan pelbagai program kemasyarakatan, khususnya dalam mengekalkan perpaduan dan keharmonian di peringkat kampung.



Sekitar kemeriahan Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri 2026 di Kampung Baru, semalam. - Gambar UKAS

Pada majlis yang sama, Safiee turut menyampaikan sumbangan dana berjumlah keseluruhan RM20,000 kepada JKKK Kampung Baru Hilir, JKKK Kampung Baru Hulu dan PPWS bagi menyokong pelaksanaan aktiviti komuniti dan pembangunan setempat.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Daro Zul Usup, Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Daro Faizol Hashim, Penghulu Abu Bakar Salleh, Penghulu Jebli Ngok, Ketua Kaum Kampung Baru Hilir Hanim Ali dan Ketua Kaum Kampung Baru Hulu Ladi Man.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-4-2026 02:40 PM | Show all posts
Tujuh lelaki ditahan dalam Ops Lejang Khas di Kuching
April 5, 2026, Ahad - 11:35am



Suspek ditahan dalam Ops Lejang Khas yang dijalankan di kawasan Siol Kandis. - Gambar IPD Kuching

KUCHING: Polis menahan tujuh lelaki tempatan dalam satu operasi khas dikenali sebagai Ops Lejang Khas yang dijalankan di kawasan Siol Kandis di sini, sekitar jam 10.30 pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, kesemua suspek berusia antara 21 hingga 29 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian motosikal.

Menurutnya, tangkapan tersebut dibuat susulan laporan polis yang diterima pada 2 April lalu, selain dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa kes kecurian motosikal di sekitar bandar raya Kuching.

“Hasil siasatan awal mendapati semua suspek terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal di sekitar daerah ini sejak penghujung tahun 2025,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua tujuh suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Semakan lanjut juga mendapati enam daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau,” jelasnya.

Alexson memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuri kenderaan bermotor, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun, serta boleh dikenakan denda.

Sehubungan itu, pihak polis mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes Sarjan Petrus di talian 019-518 3807 atau balai polis berdekatan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

15-5-2026 12:33 AM GMT+8 , Processed in 0.495350 second(s), 30 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list