CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 126|Reply: 1

[Sabah] Lombong emas di Balung buka ruang kerjaya profesional anak tempatan

[Copy link]
Post time 6-4-2026 02:50 PM | Show all posts |Read mode
Edited by Vellfire at 6-4-2026 02:57 PM



ALBUM: Lo bersama geologis dan sebahagian kakitangan bergambar di hadapan pejabat syarikat berkenaan.
KEBANGKITAN semula industri perlombongan di Sabah bukan sahaja mengangkat potensi sumber bumi negeri, malah membuka lembaran baharu kepada pembangunan modal insan apabila semakin ramai anak tempatan kini mengisi jawatan profesional dalam sektor itu.

Di Bukit Tundong, Balung, operasi perlombongan emas oleh Southsea Gold Sdn Bhd menjadi antara contoh kejayaan syarikat tempatan yang bukan sahaja berani mengambil risiko, malah berjaya membuktikan keupayaan anak tempatan dalam menerajui industri berimpak tinggi itu.


LO

Pengarah Urusannya, Datuk Lo Fui Ming berkata, perjalanan membangunkan lombong emas berkenaan bukanlah mudah, terutama ketika industri itu masih dianggap berisiko tinggi dan kurang diyakini oleh pelbagai pihak.

“Sekitar 10 tahun lalu, tiada siapa yang benar-benar percaya projek ini boleh berjaya. Ramai menganggap perlombongan emas di Sabah sukar untuk dimajukan, malah pihak bank juga enggan memberi pembiayaan kerana risiko yang tinggi.

“Tetapi kami tidak berputus asa. Kami bermula sedikit demi sedikit, mencari rakan dan  teknologi sendiri sehingga akhirnya operasi ini berjaya berdiri seperti hari ini,” katanya ketika ditemui di tapak lombong berkenaan.

Menurutnya, meskipun kandungan emas di kawasan itu dikategorikan rendah, kecekapan teknologmembangunkani yang digunakan membolehkan syarikat mencapai kadar pemulihan emas sehingga 95 peratus, satu pencapaian yang disifatkan antara terbaik di Malaysia.

“Kebanyakan operasi lain mungkin hanya mencapai sekitar 75 hingga 85 peratus, tetapi kita berjaya mencapai sehingga 95 peratus.⁰⁹
“Ini hasil usaha kita membangunkan teknologi sendiri tanpa bergantung kepada kepakaran luar,” katanya.


LOMBONG: Antara kawasan perlombongan yang dikenal pasti berpotensi mengandungi hasil bumi emas.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan itu menjadi bukti bahawa syarikat tempatan mampu berdiri setanding dengan pemain industri dari luar negara, sekali gus membuka ruang kepada lebih banyak pelaburan domestik dalam sektor perlombongan.

Lebih penting, katanya, manfaat industri itu bukan hanya kepada syarikat, tetapi turut dirasai masyarakat setempat apabila lebih 300 peluang pekerjaan diwujudkan, merangkumi pelbagai peringkat daripada operator hingga tenaga profesional seperti jurutera, ahli geologi dan pakar metalurgi.

“Dulu kawasan ini agak sunyi dari segi peluang pekerjaan, tetapi sekarang ramai anak tempatan bekerja di sini dengan pendapatan yang lebih stabil
“Ini yang kita mahu lihat, industri ini memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Lo turut menyeru lebih banyak syarikat tempatan untuk menceburi bidang perlombongan, khususnya di Sabah yang kaya dengan pelbagai sumber mineral seperti emas, tembaga dan perak.

“Kita tidak melihat industri ini sebagai persaingan semata-mata. Lagi banyak syarikat terlibat, lagi banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan. Kita mahu lebih ramai anak tempatan mendapat manfaat,” katanya.

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 6-4-2026 03:01 PM | Show all posts


PENGETAHUAN: Norfazilah memberi penerangan mengenai jenis batuan yang berpotensi mengandungi emas.
Dalam pada itu, Mine Geology Superintendent, Norfazilah Ramlan berkata, perkembangan industri perlombongan di Sabah kini membuka ruang luas kepada tenaga profesional, khususnya dalam bidang geologi yang semakin mendapat permintaan tinggi.

Menurutnya, selepas penutupan lombong tembaga Mamut pada era 1990-an, industri perlombongan di Sabah seolah-olah ‘tertidur’ sebelum kembali aktif sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Sekarang kita lihat kebangkitan semula industri ini, khususnya dengan adanya operasi di Tawau. Ini memberi peluang besar kepada graduan dalam bidang geologi untuk membina kerjaya,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa bidang geologi bukan sahaja mencabar, malah menawarkan kepuasan kepada individu yang minat meneroka serta memahami struktur bumi.

“Kerjaya ini memerlukan minat yang mendalam kerana ia melibatkan teori dan kerja lapangan. Namun, bagi mereka yang benar-benar minat, ia adalah satu kerjaya yang sangat memuaskan,” katanya.

Mengulas mengenai penglibatan wanita dalam sektor itu, Norfazilah berkata, tiada halangan untuk golongan wanita menyertai bidang perlombongan kerana mereka mampu melaksanakan tugas setanding lelaki.

“Di tapak lombong, lelaki dan wanita menjalankan tugas yang sama. Ini menunjukkan tiada diskriminasi jantina dalam industri ini,” katanya.



SHAHIRAH

Bagi geologis muda, Shahirah Atirah Lee, berkata kerjaya dalam perlombongan memberi peluang untuk terlibat secara menyeluruh dalam proses penghasilan emas, bermula daripada eksplorasi sehingga ke peringkat pengeluaran.

“Saya memang minat kerja yang aktif dan tidak terikat di pejabat. Dalam bidang ini, kita bergerak ke pelbagai lokasi dan belajar banyak perkara baharu setiap hari.

“Selain itu, kepuasan melihat hasil daripada kerja eksplorasi sehingga menjadi produk sebenar adalah sesuatu yang sangat berharga,” katanya.

Beliau mengakui cabaran kerja lapangan memerlukan ketahanan fizikal yang tinggi, namun sokongan rakan sekerja membantu mengatasi kekangan tersebut.



PROSES: Nor Syahirah menunjukkan antara kaedah yang digunakan syarikat berkenaan dalam memproses emas.

Sementara itu, Senior Metallurgist, Nor Syahirah Rusdi berkata, industri perlombongan menyediakan peluang pekerjaan yang luas, bukan sahaja kepada golongan profesional, tetapi juga kepada pekerja teknikal dan operator.

“Industri ini sangat inklusif kerana ia memerlukan pelbagai kepakaran. Kita bukan sahaja perlukan jurutera dan ahli geologi, tetapi juga operator, teknisyen dan tenaga sokongan lain.

“Yang penting, keutamaan diberikan kepada anak tempatan, khususnya dari kawasan sekitar seperti Tawau,” katanya.

Beliau berkata, peluang pekerjaan yang disediakan turut memberi impak besar kepada ekonomi setempat, selain membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat.



TAPAK: Lokasi pengumpulan batuan dari lombong sebelum melalui proses saringan.

Sabah sememangnya dikenali sebagai negeri yang kaya dengan sumber mineral, dengan lebih 30 kawasan dikenal pasti mempunyai potensi perlombongan melibatkan emas, tembaga, arang batu dan bijih besi.

Namun, kekangan dari segi pelaburan dan risiko tinggi menyebabkan sektor itu kurang diterokai sebelum ini.

Kini, dengan perubahan dasar serta peningkatan minat pelabur, industri perlombongan di Sabah dilihat berpotensi menjadi antara pemacu utama ekonomi negeri, di samping melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam kalangan anak tempatan.

Kejayaan operasi di Bukit Tundong jelas membuktikan bahawa dengan keberanian, teknologi dan komitmen, industri perlombongan bukan sahaja mampu menjana keuntungan, malah menjadi platform penting dalam membangunkan masa depan generasi muda Sabah.


Sumber : Utusan Borneo

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

10-5-2026 03:44 AM GMT+8 , Processed in 0.044592 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list