
Nanta (kiri) bersama Presiden PRS Dato Sri John Sikie Tayai (kanan) dan Timbalan Presiden PDP Dato Henry Harry Jinep menghadiri Mesyuarat Ketiga Jawatankuasa Penyelarasan Konvensyen GPS yang dipengerusikan Uggah di Ibu Pejabat PBB, semalam. - Gambar Facebook Alexander Nanta Linggi
KUCHING: Persiapan bagi penganjuran Konvensyen Gabungan Parti Sarawak (GPS) 2026 kini giat diperkemas menerusi penyelarasan rapi antara parti-parti komponen.
Setiausaha Agung GPS Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ia bagi memastikan acara tersebut berjalan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan.
Katanya, ia antara perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Ketiga Jawatankuasa Penyelarasan konvensyen berkenaan yang berlangsung di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Jalan Bako semalam.
“Perbincangan tertumpu kepada penyelarasan rapi serta persiapan menyeluruh bagi memastikan penganjuran Konvensyen GPS 2026 berjalan dengan lancar, teratur dan mencapai objektif yang telah ditetapkan.
“Setakat ini jumlah keseluruhan peserta konvensyen adalah seramai 4,666 orang, melibatkan penyertaan daripada semua parti komponen GPS,” katanya menerusi catatan Facebook beliau, hari ini.
Beliau berkata daripada jumlah itu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) seramai 1,466 peserta, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) 1,020 peserta, Parti Rakyat Sarawak (PRS) 1,130 peserta dan Parti Demokratik Progresif (PDP) 1,050 peserta.
Nanta yang juga Menteri Kerja Raya berkata, mesyuarat itu dipengerusikan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Timbalan Presiden PBB.
“Dengan semangat 'Utamakan Sarawak', kita berharap konvensyen yang sudah beberapa tahun tidak dianjurkan ini akan menghimpunkan ribuan ahli dalam suasana harmoni demi mencapai impian menjadikan Sarawak terus maju dan makmur,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menganjurkan konvensyen yang dijadualkan berlangsung pada 19 April depan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Nanta pada sidang media mengenai acara tersebut berkata, konvensyen pertama sejak penubuhan GPS pada 2019 itu akan memberi tumpuan kepada pencapaian Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Wakil-wakil daripada keempat-empat parti komponen GPS akan dijemput menghadiri konvensyen ini, namun jumlah perwakilan masih belum dimuktamadkan,” katanya.
|