|
|

LEMAS: Lokasi mangsa dilaporkan mandi bersama rakannya ketika kejadian.
RANAU: Kegembiraan empat remaja mandi di Sungai Liwagu, Kampung Paginatan, di sini, bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka ditemukan lemas, semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 15 tahun dilaporkan tiba-tiba meminta bantuan ketika berada di kawasan sungai yang dalam, namun tiga rakannya gagal menyelamatkannya kerana tidak mahir berenang.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.06 petang sebelum anggota bergegas ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, mangsa ditemukan kira-kira 10 meter dari lokasi kejadian pada jam 5.30 petang dengan bantuan penduduk kampung sebelum dibawa ke Klinik Paginatan untuk rawatan lanjut.
“Seterusnya mangsa diberikan bantuan pernafasan (CPR) oleh pegawai perubatan selama kira-kira satu jam, namun tidak berjaya diselamatkan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 6.42 petang dan mayat kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Ranau untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, siasatan di lokasi mendapati kejadian berlaku di Sungai Liwagu, Kampung Paginatan, dengan jarak lokasi kejadian dari rumah mangsa kira-kira 400 hingga 500 meter.
Beliau berkata, pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang kecederaan lain pada tubuh mangsa.
“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.
Sumber : Utusan Borneo
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|