Edited by FOTHER-MUCKER at 14-3-2026 05:56 PM
Mahkamah arah Yayasan Kubra tangguh sementara roboh kuil

Norlizah Abas13 March 2026
KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Selayang dekat sini memutuskan Yayasan Kubra tidak dibenar buat masa ini untuk meneruskan kerja merobohkan sebuah kuil Hindu di Rawang sementara menunggu keputusan mahkamah berhubung pertikaian hak milik tanah.
Majistret Chai Guan Hock memerintahkan kerja-kerja merobohkan Kuil Sri Uchimalai Muniswaran dihentikan sementara selepas membenarkan permohonan pengurusannya yang dikemukakan mengikut Seksyen 99(1) Kanun Prosedur Jenayah (CPC).
Mahkamah kemudian menetapkan 5 Jun ini untuk penelitian dokumen.
Peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal berkata, selepas meneliti aduan dan keterangan material yang dikemukakan, mahkamah berpuas hati wujud alasan yang mencukupi bagi membolehkan perintah sementara itu dibenarkan.
Ujar mereka, mahkamah berpuas hati wujud pertikaian berhubung status tanah berkenaan.
Menurut peguam, mahkamah mendapati, kuil itu telah berada di lokasi tersebut sejak 1995 manakala pemilik tanah semasa hanya memiliki tanah itu sejak 2021.
“Keputusan majistret itu bermakna status quo di tapak berkenaan perlu dikekalkan buat masa ini,” ujarnya kepada wakil media hari ini. Menurut peguam, mahkamah turut mengambil kira isu di tapak itu boleh menimbulkan ketegangan awam jika keadaan tidak dikawal dengan baik.
Rajesh berkata jawatankuasa kuil tidak mempertikaikan tanah itu dimiliki Yayasan Kubra, namun membantah cara sebahagian kuil tersebut dirobohkan yang menurutnya dilakukan secara tidak sah.
Rajesh berkata polis turut ditempatkan di lokasi kejadian bulan lalu bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini, yang menurutnya menunjukkan risiko ketegangan boleh meningkat.
Pada 27 Februari lalu, jawatankuasa kuil memfailkan saman di Mahkamah Majistret Shah Alam bagi menghalang sebarang tindakan yang boleh mencetuskan gangguan ketenteraman sementara menunggu perintah pengusiran daripada Mahkamah Tinggi.
Rajesh sebelum ini berkata tindakan undang-undang itu diambil bagi melindungi kepentingan kuil daripada tindakan pemilik tanah dan pihak ketiga yang didakwa merobohkan kuil secara tidak sah. – MalaysiaGazette
|