Edited by FOTHER-MUCKER at 14-3-2026 02:39 AM
Tiga lelaki warga asing ditahan ceroboh landasan KTM, potong kabel

TIGA lelaki warga asing yang ditahan menceroboh kawasan landasan kereta api serta memotong kabel. FOTO Ihsan KTMB
Subang Jaya: Tiga lelaki warga asing ditahan menceroboh kawasan landasan serta memotong kabel menggunakan alat pemotong di Kilometer (km) 17.888 laluan Subang Jaya-Batu Tiga dekat sini.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkata, dalam kejadian 12.45 tengah malam tadi, anggota Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Polis Bantuan (PB) KTMB menerima makluman mengenai kehadiran individu mencurigakan di KM17.888 laluan Subang Jaya – Batu Tiga.
Menurutnya, pasukan RCJ segera ke lokasi dan berjaya menahan tiga lelaki warga asing yang didapati menceroboh kawasan landasan serta memotong kabel menggunakan alat pemotong.
"Pasukan RCJ merampas alat pemotong, tiga telefon bimbit dan tiga telefon bimbit bersama dua kunci motosikal serta dompet. "Suspek kemudiannya diserahkan kepada anggota unit peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya untuk tindakan lanjut.
"Laporan sudah dibuat dan kes kini dalam siasatan polis," katanya dalam kenyataan hari ini. Katanya, perbuatan menceroboh dan merosakkan harta benda kereta api adalah kesalahan serius mengikut Akta Keretapi 1991 (Akta 463) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
'KTMB melalui Pasukan Polis Bantuan akan terus mempergiat rondaan keselamatan bagi memastikan keselamatan infrastruktur landasan serta kelancaran operasi tren sentiasa terjamin.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan landasan diminta menghubungi Pusat Pengumpulan & Penyaluran Maklumat Polis Bantuan KTMB di talian 03-2263 1194 (24 jam) atau memaklumkan kepada pihak PDRM bagi tindakan segera," katanya.
|