CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 167|Reply: 0

[Sabah] Tuntut perlaksanaan MA63 sebagai satu blok

[Copy link]
Post time 14-3-2026 05:04 AM | Show all posts |Read mode
Edited by Vellfire at 14-3-2026 05:05 AM



MERIAH: Ewon disambut meriah semasa tiba di majlis itu.

KOTA KINABALU: Sabah dan Sarawak kekal sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia, namun kedua-dua negeri itu menuntut pelaksanaan sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta hak-hak yang termaktub di dalamnya.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, tuntutan itu dibuat secara bersama memandangkan Sabah dan Sarawak berkongsi banyak hak yang hampir sama seperti yang dipersetujui dalam pembentukan Malaysia.

Katanya, setiap pihak mempunyai hak untuk mentafsir atau menyuarakan pandangan yang melihat Sabah dan Sarawak sebagai 'blok Borneo' dalam menuntut pelaksanaan MA63.

“Sebagai Presiden UPKO, saya melihat sama ada ia dipanggil wilayah Borneo, blok Borneo atau wilayah Sabah dan Sarawak, pada saya kita berkongsi hak yang hampir sama dalam Perjanjian Malaysia.

“Tanpa Sabah dan Sarawak, tidak akan ada Persekutuan Malaysia. Itu adalah fakta.

“Jadi kita hanya menuntut apa yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan berunding sebagai Sabah dan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina, anjuran UPKO Putatan di sini, semalam.

Ewon berkata, terdapat pelbagai tafsiran mengenai istilah 'blok Borneo' dan dalam satu sudut ia boleh dianggap tepat memandangkan Sabah dan Sarawak berada di pulau Borneo dan dipisahkan daripada Semenanjung oleh Laut China Selatan.

Namun dalam konteks pembinaan Persekutuan, katanya, pandangan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor juga tepat kerana Sabah dan Sarawak masih berada dalam satu Persekutuan dan sebuah negara Malaysia yang perlu terus bekerjasama.

“Untuk memastikan Persekutuan Malaysia ini terus berkembang sebagai sebuah negara, maka Perjanjian Malaysia perlu ditunaikan dan hak Sabah serta Sarawak mesti dilaksanakan.

“Jadi adalah sesuatu yang natural atau semulajadi bagi pemimpin dan rakyat kedua-dua negeri ini untuk bersatu memperjuangkan hak kita,” katanya.

Beliau berkata selagi perkara yang dipersetujui dalam MA63 belum dilaksanakan sepenuhnya, perjuangan untuk menuntut pelaksanaannya akan terus diteruskan.

Ewon berkata, ketika ini kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak mempunyai beberapa platform rasmi untuk merundingkan pelaksanaan MA63, antaranya melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 serta Jawatankuasa Teknikal MA63 yang bersidang setiap tahun.

Katanya, kedua-dua platform itu menjadi saluran rundingan bagi memastikan hak Sabah dan Sarawak dapat dilaksanakan.

Beliau turut menjelaskan bahawa ketika Singapura masih berada dalam Persekutuan Malaysia, terdapat jaminan perlindungan perlembagaan kepada wilayah di luar Tanah Melayu termasuk Sabah dan Sarawak.

Ketika itu, katanya, Semenanjung Malaysia tidak mempunyai kuasa perundangan sehingga dua pertiga melalui kerusi Parlimen.

Namun jaminan tersebut terhakis selepas Singapura keluar daripada Persekutuan Malaysia, sedangkan jaminan itu merupakan antara sebab Sabah dan Sarawak bersetuju menubuhkan Malaysia.

“Sebab itu ada pandangan yang melihat Sabah dan Sarawak sebagai satu blok di Borneo. Kita berada di wilayah sendiri yang dipisahkan oleh Laut China Selatan. Dan kita menuntut jaminan perlindungan serta hak-hak yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

20-4-2026 02:41 PM GMT+8 , Processed in 0.411144 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list