Edited by Vellfire at 14-3-2026 04:54 AM

PTI: Sebahagian individu yang ditahan sepanjang operasi dijalankan.
SEMPORNA: Seramai 20 pendatang tanpa izin (PTI) warga Filipina dan Republik Rakyat China ditahan dalam Operasi Bersepadu Daerah Semporna yang diselaraskan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) pada 10 dan 11 Mac lalu.
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata operasi itu turut mengesan pelbagai kesalahan dengan nilai keseluruhan hasil penguatkuasaan dan rampasan dianggarkan mencecah RM491,413.76.
Menurutnya, operasi berkenaan dijalankan susulan aduan orang awam mengenai penglibatan warga asing yang dipercayai mengendalikan aktiviti operator serta perniagaan pelancongan secara tidak sah tanpa lesen di sekitar daerah berkenaan.
“Tindakan ini juga selaras dengan langkah penguatkuasaan susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung penyalahgunaan Pas Lawatan Sosial oleh warga asing untuk menjalankan aktiviti perniagaan, khususnya dalam sektor pelancongan di kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).
“Operasi bersepadu ini dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta beberapa jabatan dan agensi Persekutuan, Negeri dan pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Victor berkata, seramai 231 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi itu yang turut menyaksikan pemeriksaan ke atas 41 resort dan premis perniagaan di sekitar bandar serta perairan Semporna termasuk kawasan penempatan koloni setinggan, pinggir bandar dan kampung.
“Seramai 48 individu diperiksa dan daripada jumlah itu, 20 dikenal pasti sebagai PTI sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Semporna untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah serta tinggal melebihi tempoh dibenarkan,” katanya.
Dalam operasi sama katanya, pelbagai kesalahan turut dikesan oleh agensi penguat kuasa yang terlibat.
“Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengeluarkan 41 kompaun mengikut Akta Kerja 1955 membabitkan kegagalan majikan mematuhi peruntukan berkaitan syarat pekerjaan serta kebajikan pekerja.
“Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengeluarkan lapan kompaun dan satu notis pematuhan mengikut Akta Syarikat 2016, manakala Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) mengeluarkan dua kompaun Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
“Majlis Daerah Semporna (MDS) turut mengeluarkan 19 kompaun pelbagai kesalahan termasuk menjalankan perniagaan tanpa lesen serta kegagalan mematuhi syarat pelesenan premis,” katanya.
Selain itu, katanya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengeluarkan 30 notis kesalahan Akta Perkhidmatan Bomba 1988 kerana kegagalan menyediakan kemudahan keselamatan kebakaran seperti pengesan asap, alat penggera kebakaran manual, lampu kecemasan serta alat pemadam api.
“Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas minuman keras tanpa lesen bernilai RM20,153.76 termasuk cukai mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pula mengeluarkan tujuh kompaun berkaitan pelanggaran peraturan perdagangan serta kawalan barangan.
“Jabatan Hidupan Liar Sabah merampas tiga plastik mengandungi daging penyu serta 111 plastik mengandungi daging babi hutan yang dianggarkan bernilai RM3,260 kerana disyaki melanggar Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997,” katanya.
Victor berkata operasi itu adalah sebahagian usaha berterusan melalui Operasi SANGGAH ESSCOM bagi memperkukuh operasi keselamatan di ESS Zone.
Beliau menegaskan ESSCOM akan terus memperhebat operasi bersepadu selaras dengan pendekatan ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’ bagi mengekang jenayah rentas sempadan serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Sabah Timur kekal terpelihara.
“Orang ramai juga diseru menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESS Zone kepada Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui WhatsApp di talian 011-63311072,” katanya.
|