Jumlah, lokasi kerusi belum dimuktamad, persempadanan hanya dilaksana selepas dilulus Parlimen Malaysia, SPR

Abdul Karim (tengah) ketika menjawab pertanyaan media selepas majlis dan kelihatan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang (kiri). - Gambar Roystein Emmor
“Cadangan penambahan kerusi itu telah diluluskan di peringkat DUN Sarawak, namun masih menunggu pengesahan di peringkat Parlimen.”
Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan
KUCHING: Dakwaan mengenai agihan 17 kerusi baharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak kepada parti-parti tertentu adalah tidak berasas, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau menegaskan, jumlah sebenar serta lokasi kerusi tambahan itu masih belum dimuktamadkan kerana proses persempadanan hanya akan dilaksanakan selepas mendapat kelulusan Parlimen Malaysia dan ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Cadangan penambahan kerusi itu telah diluluskan di peringkat DUN Sarawak, namun masih menunggu pengesahan di peringkat Parlimen.
“Ada yang mengatakan daripada 17 kerusi itu, 10 akan diberi kepada PBB, tiga kepada SUPP dan sebagainya tetapi perkara itu belum ada lagi kerana kerusinya sendiri belum ditentukan.
“Saya tidak fikir PBB dan SUPP akan berkata ini kerusi saya dan itu kerusi kamu. Kerusi itu belum ada lagi, saya sendiri pun tidak tahu di mana kerusi tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa 17 kerusi baharu itu telah dibahagikan antara parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas merasmikan prapelancaran Ekspo dan Kongres Pelancongan Perubatan Global Borneo (BGMT) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Menurut Abdul Karim, perbincangan dalam kalangan parti komponen GPS mengenai kemungkinan kawasan yang sesuai bukanlah sesuatu yang salah.
Katanya namun keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas SPR menjalankan proses persempadanan dan mempamerkan cadangan kepada rakyat untuk maklum balas.
“Apabila SPR menentukan sempadan nanti, mereka akan turun ke lapangan, mempamerkan cadangan dan rakyat boleh memberi pandangan sama ada bersetuju atau tidak,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang spekulasi di media sosial mungkin sengaja dimainkan oleh pihak tertentu untuk mengalihkan perhatian.
“Mungkin ada pihak yang sengaja menimbulkan perkara ini untuk mengalihkan perhatian dan menimbulkan perpecahan,” katanya.
Abdul Karim berharap proses persempadanan dapat diselesaikan seawal mungkin supaya kawasan baharu itu dapat dimuktamadkan untuk pertarungan pilihan raya akan datang.
“Jika boleh kita mahu ia dibentangkan lebih awal supaya menjelang hujung tahun ini kawasan baharu itu sudah dapat dimuktamadkan untuk kita bertanding,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo
|