
KUCHING: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah (gambar) berkata Sarawak tidak akan mengikut arahan kerajaan persekutuan untuk membatalkan majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri.
Beliau berkata arahan tersebut khusus ditujukan kepada kementerian, jabatan dan agensi persekutuan.
Menurutnya arahan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam adalah untuk entiti persekutuan dan tidak semestinya terpakai kepada kerajaan negeri.
“Arahan PMX ditujukan kepada kementerian, jabatan dan agensi persekutuan. Secara peribadi, saya tidak melihat ia terpakai kepada Sarawak,” katanya kepada The Borneo Post hari ini.
Abdul Karim menambah, walaupun Sarawak akan meneruskan sambutan Hari Raya Aidilfitri, kerajaan negeri akan memastikan acara diadakan pada skala yang lebih sederhana.
“Sarawak tidak akan mengikut arahan persekutuan. Kita masih akan menyambut Hari Raya tetapi pada skala yang lebih sederhana,” katanya.
Abdul Karim yang juga Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri kekal sebagai satu acara penting bagi umat Islam meraikan berakhirnya bulan puasa Ramadan.
Beliau bagaimanapun menegaskan sambutan perlu diadakan secara bertanggungjawab tanpa perbelanjaan berlebihan.
“Sudah tentu ketika menyambut Hari Raya pada 1 Syawal, kita perlu sentiasa ingat agar tidak berbelanja secara berlebihan,” katanya.
Beliau menambah musim perayaan juga memberi peluang penting kepada rakyat Malaysia untuk mengetepikan perbezaan dan mengeratkan hubungan.
“Kita tidak boleh mengetepikan terus sambutan Hari Raya kerana situasi global semasa. Hari Raya adalah masa untuk semua rakyat Malaysia mengetepikan perselisihan dan bersatu serta mengeratkan silaturahim,” jelasnya.
Pada Rabu kerajaan persekutuan memutuskan semua kementerian, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak akan mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri tahun ini sebagai langka hmenggalakkan perbelanjaanlebih berhemat berikutan ketidaktentuan ekonomi global.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet sebelum ini dan bertujuan memberi isyarat tentang keperluan disiplin fiskal yang lebih ketat dalam sektor awam.
“Ini menghantar mesej bahawa perbelanjaan perlu lebih berhemat dan sederhana,” katanya.
Anwar berkata langkah itu perlu diambil walaupun bekalan barangan keperluan seperti minyak dan gas di Malaysia masih stabil buat masa ini.
Beliau berkata kerajaan lebih memilih untuk mengambil langkah berjaga-jaga lebih awal daripada berdepan risiko tidak bersedia sekiranya keadaan global menjadi lebih buruk.
Sumber : Utusan Borneo
|