
Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Perbandingan kos projek tiang bendera setinggi 99 meter di Sarawak dengan projek serupa di negeri lain adalah tidak wajar kerana skop pembinaannya berbeza.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah (gambar) berkata projek berkenaan bukan sekadar pembinaan tiang bendera, sebaliknya melibatkan pembangunan sebuah kompleks lengkap.
“Tiang bendera Sarawak bernilai sekitar RM30 juta bukan hanya struktur tunggal tetapi sebahagian daripada kompleks yang merangkumi pelbagai komponen termasuk landskap, kemudahan awam dan elemen air pancut.
“Tidak adil untuk kita membandingkan kos tiang bendera Sarawak dengan di Selangor, kerana skop pembinaan berbeza,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan prapelancaran Ekspo dan Kongres Pelancongan Perubatan Global Borneo (BGMT) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata perbandingan kos dengan projek tiang bendera 120 meter di Selangor yang dilaporkan menelan kos sekitar RM8.5 juta tidak boleh dibuat secara langsung kerana reka bentuk dan kemudahan yang disediakan adalah berbeza.
Menurutnya, projek di Sarawak melibatkan pembangunan kawasan yang lebih menyeluruh termasuk kemudahan pelancongan.
“Kalau kita bandingkan Mercedes atau BMW dengan Proton, kedua-duanya boleh membawa kita ke destinasi yang sama, tetapi spesifikasi dan kemudahannya berbeza,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa sebahagian kos projek tersebut ditanggung oleh syarikat petroleum milik negeri, Petroleum Sarawak Berhad dan bukan sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
Bagaimanapun katanya apa yang penting, pembinaan tiang bendera Sarawak itu menjadi mercu tanda di mana ia menjadi teladan kepada negeri lain untuk membina seumpamanya.
“Apapun kita gembira kerana pembinaan tiang bendera di Sarawak menjadi contoh untuk negeri lain mengikutinya, namun kosnya nanti terpulang kepada negeri masing-masing,” tegasnya.
Sumber : Utusan Borneo
|