
Tiang (depan, dua kiri) dan Abdul Karim (depan, tengah) bersama yang lain menunjukkan plakat kementerian dan agensi terlibat dalam BGMT 2026 yang akan dianjurkan pada Oktober depan. - Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan sektor penjagaan kesihatan lain kini sedang meneliti usaha untuk terus memperluas dan menaik taraf kemudahan kesihatan di seluruh negeri.
Timbalan Menterinya Datuk Michael Tiang berkata, beberapa hospital baharu dan pusat pakar kini berada pada pelbagai peringkat perancangan dan pembangunan, terutama di kawasan bandar utama seperti Kuching, Sibu dan Miri.
“Pembangunan ini penting bukan sahaja untuk memberi perkhidmatan kepada penduduk tempatan, tetapi juga untuk membina kapasiti yang diperlukan bagi menyambut pesakit antarabangsa yang mendapatkan rawatan khusus serta perkhidmatan pemulihan di Sarawak.
“Hari ini, Sarawak mempunyai lebih daripada 25 hospital awam, lebih daripada 10 hospital swasta serta ratusan klinik dan kemudahan penjagaan kesihatan di seluruh negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena prapelancaran Ekspo dan Kongres Pelancongan Perubatan Global Borneo (BGMT) 2026 yang disempurnakan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Tiang berkata seiring dengan peningkatan permintaan, khususnya dengan pertambahan populasi dan pergerakan pesakit rentas sempadan dalam Borneo, negeri ini berhasrat untuk memperluaskan kapasiti penjagaan kesihatan secara berperingkat dalam tempoh sedekad akan datang.
Katanya menjelang tahun 2030, Sarawak menyasarkan untuk memperkukuh sistem penjagaan kesihatannya dengan lebih daripada 40 hospital utama dan pusat pakar di seluruh negeri.
“Ini akan disokong oleh tenaga kerja yang diperluaskan, merangkumi lebih 6,000 doktor dan pakar perubatan serta lebih daripada 20,000 jururawat dan profesional kesihatan bersekutu.
“Usaha ini turut disokong melalui pelaburan berterusan dalam pendidikan perubatan, penyelidikan dan latihan melalui institusi seperti Universiti Malaysia Sarawak serta pusat latihan perubatan lain di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata pada masa yang sama kerajaan dan industri penjagaan kesihatan akan terus melabur dalam teknologi perubatan moden, pusat rawatan khusus serta penyelesaian kesihatan digital.
Ia katanya bagi memastikan perkhidmatan kesihatan di Sarawak memenuhi piawaian antarabangsa sambil kekal mudah diakses dan berfokus kepada pesakit.
Katanya lagi, Sarawak menyedari bahawa penjagaan kesihatan bertaraf dunia bukan sekadar mengenai infrastruktur, tetapi juga mengenai manusia.
“Sarawak menyaksikan peningkatan berterusan dalam bilangan profesional perubatan, termasuk doktor, pakar dan pengamal kesihatan bersekutu.
“Tumpuan kita adalah untuk memperkukuh kumpulan bakat berkemahiran melalui kerjasama dengan universiti, institusi perubatan dan badan latihan bagi memastikan kita terus melahirkan tenaga profesional kesihatan yang berkelayakan tinggi,” ujarnya.
Tiang berkata kementerian dengan itu amat menggalakkan hospital swasta dan pusat perubatan khususnya yang baharu untuk membawa masuk teknologi canggih, pilihan rawatan moden serta pakar yang mendapat latihan antarabangsa.
Katanya perkembangan itu membantu meningkatkan standard keseluruhan perkhidmatan penjagaan kesihatan di negeri ini serta membina keyakinan dalam kalangan pesakit dari luar negara yang mempertimbangkan Sarawak sebagai destinasi rawatan.
|