
Abdul Karim menekan butang sebagai simbolik prapelancaran BGMT 2026 yang akan diadakan Oktober depan pada majlis di BCCK, hari ini. Turut kelihatan, Tiang (tiga kiri), Suriaghandi (kanan), Audry (dua kiri) serta yang lain. - Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Ketibaan pelawat untuk mendapatkan rawatan perubatan di Sarawak terus meningkat apabila mencatat lebih 104,000 orang pada tahun 2025, sekali gus menunjukkan potensi besar industri pelancongan perubatan di negeri ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, peningkatan tersebut membuktikan keyakinan pesakit atau pelawat perubatan sama ada tempatan atau antarabangsa terhadap kemudahan kesihatan yang tersedia di negeri ini.
“Pada tahun 2023 jumlahnya sekitar 64,393 ketibaan pelawat (perubatan) ke negeri ini dan ia meningkat kepada 76,796 pada tahun 2024, sebelum melonjak kepada lebih 104,106 pada tahun lalu.
“Statistik ini melibatkan pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital di bandar-bandar utama seperti Kuching, Miri, Bintulu dan Sibu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan prapelancaran Ekspo dan Kongres Pelancongan Perubatan Global Borneo (BGMT) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) Suriaghandi Suppiah dan pengerusi pengelola BGMT 2026 Audry Wan Ullok.
Abdul Karim berkata, peningkatan pelancongan perubatan turut memberi kesan positif kepada industri hospitaliti di Sarawak kerana pesakit biasanya datang bersama ahli keluarga dan tinggal lebih lama untuk rawatan serta pemulihan.
“Jika seorang pesakit datang, biasanya ahli keluarga akan turut bersama dan mereka mungkin tinggal dua minggu hingga dua bulan bergantung kepada rawatan yang dijalani,” katanya.
Tambah beliau, keadaan itu secara tidak langsung memberi manfaat kepada sektor pelancongan lain seperti hotel, inap desa, perkhidmatan apartmen, restoran serta syarikat pengangkutan.
Sementara itu mengenai BGMT 2026, Abdul Karim berkata Sarawak akan menganjurkan kongres berkenaan pada 12 dan 13 Oktober depan, justeru memperkukuhkan kedudukan negeri ini sebagai destinasi utama pelancongan perubatan di rantau ini.
“Acara ini akan menghimpunkan pemain industri kesihatan dan pelancongan untuk meneroka potensi pelancongan perubatan yang semakin berkembang di Sarawak,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Karim berkata Sarawak kekal optimis mampu mencapai sasaran lima juta ketibaan pelawat tahun ini, walaupun terdapat kebimbangan mengenai gangguan penerbangan global dan kenaikan kos perjalanan.
“Setakat ini ketibaan pelawat ke negeri ini masih menunjukkan trend peningkatan yang positif.
“Walaupun terdapat kebimbangan mengenai gangguan penerbangan dari Eropah dan Timur Tengah, saya tidak terlalu bimbang kerana pelawat ke Sarawak bukan hanya datang dari kawasan tersebut, tetapi juga dari rantau Asia dan domestik,” jelasnya.
Beliau berkata, industri pelancongan Sarawak turut disokong oleh pelbagai acara berskala besar yang dianjurkan sepanjang tahun, termasuk Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF), Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Sarawak dan banyak lagi.
“Acara-acara ini mempunyai pengikut tersendiri dan mampu menarik pelawat dari dalam dan luar negara,” katanya sambil menambah, Kerajaan Sarawak bagaimanapun akan terus memantau perkembangan global yang boleh memberi kesan kepada sektor pelancongan negeri.
Sumber : Utusan Borneo
|