RAMPAS: Rampasan beberapa bahagian haiwan yang disyaki hidupan liar dilindungi dipamer untuk jualan secara haram.
TUARAN: Seorang lelaki tempatan ditahan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah selepas disyaki menjual beberapa bahagian hidupan liar dilindungi di sebuah gerai di tapak Tamu Tenghilan, di sini.
Pengarah JHL Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar berkata, tangkapan dibuat dalam operasi pemeriksaan penguatkuasaan oleh pasukan Rapid Response Team (RRT) jabatan kira-kira jam 8.05 pagi.
“Operasi dijalankan hasil maklumat Unit Risikan JHL Sabah berkaitan aktiviti penjualan bahagian hidupan liar di kawasan tamu berkenaan.
“Pemeriksaan di gerai suspek menemukan beberapa bahagian haiwan yang disyaki hidupan liar dilindungi dipamer untuk jualan secara haram.
“Antara barangan dirampas ialah dua batang kuku beruang madu, satu bahagian tangan beruang madu dan satu batang gigi beruang madu,” katanya.
Tambahnya, turut dirampas satu keping sisik tenggiling, satu batang tanduk kijang serta 16 batang duri landak.
“Susulan itu, seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 (EPHL 1997) dan mengikut enakmen ini, sebarang aktiviti perdagangan hidupan liar dilindungi perlu mendapatkan lesen atau permit sah yang dikeluarkan JHL Sabah,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, jabatan tidak mengeluarkan sebarang permit bagi perdagangan, pemilikan atau penyimpanan spesies beruang madu dan tenggiling.
“Kedua-dua spesies berkenaan berada dalam kategori dilindungi sepenuhnya.
“Sehubungan itu, mana-mana individu yang memiliki, menyimpan, menjual atau memperdagangkan spesies berkenaan atau mana-mana bahagiannya tanpa kebenaran melakukan kesalahan mengikut EPHL 1997.
“Jika sabit kesalahan, individu terbabit berdepan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000,” katanya.
Katanya, pesalah juga boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi lima tahun.