
KUCHING: Mahkamah Rayuan di sini, hari ini membenarkan rayuan pedofilia Alladin Lanim dan memerintahkan tiga hukuman penjara yang dijatuhkan terhadapnya dijalankan secara serentak, sekali gus mengurangkan tempoh pemenjaraannya daripada 50 tahun kepada 32 tahun.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Wong Kian Kheong yang bersidang bersama Datuk Alwi Abdul Wahab dan Datin Paduka Evrol Mariette Peters memutuskan demikian selepas meneliti hujahan pihak pembelaan dan pendakwaan.
Mahkamah bagaimanapun mengekalkan hukuman 31 sebatan ke atas lelaki terbabit yang kini berusia 45 tahun.
Semasa prosiding, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Chai Yuen Hui yang mewakili Alladin memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman yang lebih bersifat ihsan terhadap anak guamnya, selain berhujah bahawa terdapat kesalahan lain yang lebih serius namun dikenakan hukuman lebih ringan sebagai perbandingan.
Beliau turut memaklumkan bahawa perayu menerima hukuman sebatan yang dijatuhkan tanpa sebarang syarat dan tidak mempertikaikan keputusan tersebut.
Selain itu, Chai menegaskan bahawa perayu telah menunjukkan rasa kesal terhadap perbuatannya serta mengaku bersalah pada peringkat awal prosiding.
Timbalan Pendakwa Raya Shamala Jaganathan bagaimanapun berhujah bahawa perayu gagal menunjukkan sebarang kesilapan prinsip atau bahawa hukuman tersebut adalah keterlaluan.
Katanya, hukuman yang dijatuhkan adalah adil dan setimpal manakala perintah hukuman dijalankan secara berturut-turut adalah wajar bagi mencerminkan keseluruhan kesalahan perayu serta melindungi masyarakat.
Terdahulu pada Januari 2024, Hakim Iris Awen Jon mensabitkan perayu yang mengaku bersalah atas tiga pertuduhan, masing-masing dengan penjara 22 tahun dan 10 sebatan, penjara lima tahun dengan tiga sebatan, penjara 13 tahun dengan lapan sebatan, kesemuanya berjalan secara berturutan.
Mahkamah Rayuan semalam bagaimanapun memutuskan hukuman dijatuhkan oleh Iris dijalankan secara serentak.
Bagi pertuduhan pertama, perayu didakwa menghasilkan pornografi kanak-kanak dalam bentuk video dan gambar dengan telefon bimbitnya dan didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (SOACA) 2017.
Berdasarkan pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 6 SOACA 2017 kerana menyediakan bahan lucah kanak-kanak dengan telefon bimbitnya.
Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa mengikut Seksyen 7 SOACA 2017 kerana menggunakan budak lelaki berusia 13 tahun dalam penyediaan dan penghasilan pornografi terbabit.
Ketiga-tiga kesalahan itu dilakukannya di sebuah kuarters di Biawak antara 13 Ogos 2018 dan 6 Disember 2020.
Sementara Hakim Musli Abdul Hamid terdahulunya mensabitkan perayu yang juga mengaku bersalah mengikut Seksyen 7 SOACA 2017 kerana menggunakan budak lelaki berusia sembilan tahun dalam penyediaan dan penghasilan pornografi pada 7 September 2019 sekitar jam 10.45 pagi, juga di kuarters sama.
Musli memerintahkan perayu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan bagi kesalahan terbabit, berturutan selepas hukuman penjara yang dijatuhkan oleh Iris.
Berdasarkan fakta kes, pada 2021, polis menyerbu kuarters dan menahan perayu selepas mendapati telefon bimbitnya mengandungi sejumlah video lucah kanak-kanak dalam bentuk video dan gambar.
Siasatan mendapati gambar dan video itu dihasilkan oleh perayu yang pernah menggunakan mangsa dalam produksi tersebut.
Dalam melakukan jenayah itu, perayu telah memberikan seorang daripada mangsa satu lagi telefon bimbit supaya dia boleh bermain 'game' manakala tertuduh merakam video dan mengambil gambar dirinya menghisap alat sulit kanak-kanak itu.
Difahamkan, terdapat sebanyak 7,371 gambar dan 2,541 video membabitkan mangsa dan beberapa kanak-kanak lain.
|