
Tertuduh (kiri) dieskot keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Miri, hari ini oleh pegawai MCMC selepas dijatuhi hukuman penjara dan denda.
MIRI: Seorang pentadbir akaun Facebook dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah memuat naik komen jelik menghina agama Islam berhubung pemergian Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Hukuman itu dijatuhkan Hakim Afidah Abdul Rahman selepas tertuduh, John Mule Alai, 48, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kerana menggunakan perkhidmatan aplikasi secara tidak wajar dengan memuat naik komunikasi bersifat jelik melampau dengan niat mengganggu orang lain.
Menurut keterangan kes, tertuduh selaku pentadbir akaun Facebook 'Bat Tuo Sai' telah memuat naik komen yang menghina ayat suci al-Quran serta Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada hantaran Facebook Astro Awani berkaitan berita pemergian bekas Perdana Menteri itu.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform digital yang boleh menghina agama, mencetuskan kebencian atau menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab serta mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.
"Sebarang kandungan yang bersifat menghina, menghasut kebencian atau menyinggung sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja boleh dikenakan tindakan tegas di bawah undang-undang.
"Hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah ini diharap menjadi peringatan kepada pengguna media sosial supaya berhati-hati dalam menulis komen dan berkongsi kandungan dalam talian serta menghormati sensitiviti agama dan institusi di negara ini," menurut kenyataan itu.
|