
Program Subsidi Rakyat anjuran Pusat Khidmat Parlimen P.212 Sibu akan diadakan di Bisonte Grocer & Deli pada Sabtu ini.
SIBU: Pusat Khidmat Parlimen P.212 Sibu akan menganjurkan Program Subsidi Rakyat pertama sempena Tahun Kuda 2026 bagi membantu meringankan beban kos sara hidup penduduk setempat.
Program jualan barangan keperluan asas bersubsidi itu akan diadakan pada Sabtu ini (14 Mac), bermula jam 8.30 pagi hingga 11.30 pagi di Bisonte Grocer & Deli, berhampiran Kampung Hilir.
Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew, iaitu Irene Wong Lee Ting berkata, program kebajikan tersebut merupakan antara usaha berterusan pihaknya untuk membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup semasa.
Menurut beliau, sebanyak 800 set barangan asas disediakan dalam program kali ini, merangkumi 10 kilogram beras, 30 biji telur dan satu kilogram minyak masak paket.
“Harga asal bagi satu set barangan ini adalah RM48.50, namun melalui subsidi yang diberikan, ia dijual kepada orang ramai pada harga RM30 sahaja,” katanya dalam satu kenyataan pada .Rabu.
Beliau menambah bahawa dalam keadaan inflasi global yang masih memberi kesan kepada kos sara hidup, inisiatif di bawah Kerajaan MADANI ini merupakan salah satu pendekatan paling langsung untuk membantu rakyat.
Dalam pada itu, Wong turut mengingatkan orang ramai yang ingin mendapatkan set subsidi tersebut perlu mematuhi beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur.
“Antaranya, setiap keluarga hanya dibenarkan membeli satu set sahaja dan jumlah jualan dihadkan kepada 800 set mengikut konsep “siapa cepat, dia dapat”.
“Selain itu, bayaran bagi pembelian hanya diterima secara tunai, manakala pembeli perlu membuat pendaftaran terlebih dahulu sebelum menerima kupon pembelian,” jelasnya.
Beliau memberitahu pengunjung yang hadir juga berpeluang menerima hadiah percuma selagi stok masih ada sepanjang tempoh program berlangsung.
“Menariknya, setiap kupon yang diterima turut melayakkan pembeli menikmati rebat RM5 bagi pembelian satu pek susu tepung bernilai RM20 ke atas,” tambahnya lagi.
Program ini dijangka akan memberi manfaat kepada ratusan keluarga di sekitar bandar Sibu serta kawasan berhampiran.
|