|
Beri maklumat tepat, bantu masyarakat dapatkan perkhidmatan, bantuan kerajaan dengan cekap dan berkesan

Fatimah dan Rosey serta tetamu bergambar bersama para penerima bantuan di bawah KPWK selepas sesi Town Hall di Pustaka Negeri petang tadi.
“Setiap daripada kita ialah duta kerajaan dan sebagai duta, kita bukan sahaja perlu tahu tentang tugas bahagian sendiri tetapi juga apa yang dilakukan oleh bahagian lain serta jenis bantuan yang ada supaya kita dapat membantu masyarakat dengan lebih berkesan.”
Dato Sri Fatimah Abdullah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti
KUCHING: Semua penjawat dan pegawai di bawah kementerian perlu memainkan peranan sebagai 'duta' kecil kerajaan dengan memberi maklumat tepat serta membantu masyarakat mendapatkan perkhidmatan dan bantuan yang disediakan kerajaan dengan cekap dan berkesan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, setiap pegawai khususnya petugas barisan hadapan (frontliners) perlu memahami bukan sahaja fungsi bahagian masing-masing malah mengetahui peranan dan bantuan yang ditawarkan di bawah kementerian masing-masing.
“Setiap daripada kita ialah duta kerajaan dan sebagai duta, kita bukan sahaja perlu tahu tentang tugas bahagian sendiri tetapi juga apa yang dilakukan oleh bahagian lain serta jenis bantuan yang ada supaya kita dapat membantu masyarakat dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi Town Hall kementerian yang menghimpunkan pegawai dan kakitangan daripada jabatan serta agensi di bawah kementerian di Pustaka Negeri Sarawak petang hari ini.
Antara yang hadir ialah timbalan beliau Datuk Rosey Yunus, Setiausaha Tetap KPWK Nur Alina Abdullah@Colliner Gohe, Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak Salmah Jobeli, Timbalan Setiausaha Tetap KPWK Kathreen Lalai Eddie Saga dan Pengurus Besar SeDIDIK Ayub Dahari.
Menurut Fatimah, sesi Town Hall tersebut merupakan inisiatif penting bagi meningkatkan kefahaman dalam kalangan kakitangan mengenai peranan setiap bahagian sekali gus menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
“Saya menyokong penuh penganjuran sesi Town Hall seperti ini kerana tidak semua kakitangan mengetahui sepenuhnya fungsi setiap agensi di bawah kementerian seperti Majlis Pembangunan Sosial Sarawak, Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak serta Bahagian Pembangunan Awal Kanak-Kanak.
“Di lapangan, masyarakat akan bertanya pelbagai soalan tanpa mengira jabatan. Mereka mahukan jawapan, jadi kita mesti bersedia sekurang-kurangnya untuk memberi penjelasan atau merujuk mereka kepada pihak yang berkaitan,” katanya.
Beliau menambah bahawa petugas barisan hadapan perlu bersedia menghadapi pelbagai pertanyaan kerana masyarakat yang datang mendapatkan perkhidmatan bukan hanya memerlukan bantuan berkaitan satu bahagian tertentu.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan kerjasama dan pendekatan bersepadu antara kementerian dengan jabatan serta agensi lain bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih holistik.
“Kita tidak bekerja secara bersendirian... kita bekerjasama antara bahagian dalam kementerian dan juga dengan rakan strategik seperti Jabatan Kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta agensi lain.
“Pendekatan kolaboratif ini membolehkan perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat lebih menyeluruh dan berkesan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa walaupun kerajaan sedang memperluaskan digitalisasi perkhidmatan awam masih terdapat sebahagian masyarakat khususnya di luar bandar yang menghadapi kesukaran memohon bantuan secara dalam talian.
“Kebanyakan permohonan kini dibuat secara dalam talian namun masih ada klien yang menghadapi kekangan kemahiran digital atau masalah capaian Internet.
“Oleh itu, kakitangan kita perlu membantu mereka dalam tempoh peralihan ini supaya mereka tidak tercicir daripada menerima bantuan yang sepatutnya,” katanya.
Dalam ucapan, Fatimah turut berkongsi pengalaman melawat Pusat Penyelidikan Kanser (CRC) di Hospital Umum Sarawak yang memberi gambaran jelas tentang cabaran dihadapi pesakit kanser khususnya mereka yang berada pada tahap empat penyakit berkenaan.
Menurutnya, rawatan yang dijalankan di pusat tersebut memberi sinar harapan kepada pesakit walaupun kos rawatan yang tinggi memerlukan sokongan bantuan kewangan.
“Saya bersyukur kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan bagi bantuan rawatan perubatan termasuk untuk pesakit kanser. Apabila kita bertemu dan berbincang dengan pesakit, barulah kita benar-benar memahami betapa pentingnya bantuan seperti ini kepada mereka,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pegawai kementerian supaya melaksanakan tugas dengan penuh empati dan belas ihsan terhadap golongan yang memerlukan bantuan.
“Kita mesti melihat sesuatu isu dari sudut pandangan rakyat, bukan semata-mata dari sudut prosedur kita. Walaupun kita mempunyai garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP), kita juga perlu menggunakan pertimbangan sewajarnya bagi membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Pada majlis itu, beberapa bantuan turut disampaikan kepada penerima termasuk Endowment Fund, Bantuan Ibu Bersalin, bantuan perubatan serta bantuan di bawah program KIRWaS dan Program Pemeriksaan Kesihatan Wanita Sarawak.
Sumber : Utusan Borneo
|