CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 118|Reply: 0

[Sarawak] Beberapa kawasan bandar kini berdepan tekanan trafik

[Copy link]
Post time 12-3-2026 12:43 PM | Show all posts |Read mode
Ia disebabkan pertumbuhan penduduk, perkembangan aktiviti komersial, peningkatan pemilikan kenderaan persendirian



Lee (tengah) mempengerusikan mesyuarat SUTMaC di Kuching, hari ini. Turut kelihatan Dr Jerip (kiri). -Gambar MOTs

"Menurut statistik, sehingga akhir tahun 2025, Sarawak mempunyai dua juta kenderaan berdaftar, majoritinya adalah kenderaan dan motosikal persendirian.”

Dato Sri Lee Kim Shin
Menteri Pengangkutan Sarawak

KUCHING: Beberapa kawasan bandar di negeri ini kini berdepan tekanan trafik yang semakin meningkat khususnya di laluan utama dan persimpangan sibuk.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata ini disebabkan pertumbuhan penduduk dan perkembangan aktiviti komersial serta peningkatan pemilikan kenderaan persendirian.

"Menurut statistik, sehingga akhir tahun 2025, Sarawak mempunyai dua juta kenderaan berdaftar, majoritinya adalah kenderaan dan motosikal persendirian.

"Peningkatan berterusan pemilikan kenderaan persendirian ini terus memberi tekanan ketara kepada rangkaian jalan raya bandar," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Trafik Bandar Sarawak (SUTMaC) di sini, hari ini.

Lee berkata, pada waktu puncak kesesakan trafik semakin ketara di beberapa laluan utama dan persimpangan besar, yang juga berpotensi meningkatkan risiko keselamatan jalan raya.

Beliau menambah, projek infrastruktur yang sedang dilakukan seperti Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) walaupun penting menambah baik sistem pengangkutan bandar bagi tempoh jangka panjang, mungkin memberi kesan sementara kepada aliran trafik sepanjang tempoh pembinaan.

"Cabaran ini menekankan kepentingan pengurusan trafik bandar yang berkesan dan diselaras dengan baik.

"Isu kapasiti jalan raya, pengurangan kesesakan, pengurusan parkir kereta, sistem lampu isyarat pintar, kemalangan jalan raya serta langkah-langkah pengurusan memerlukan kerjasama rapat antara agensi dan pihak berkepentingan berkaitan," jelasnya.

Beliau menambah, SUTMaC berfungsi sebagai platform penting yang menghimpunkan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pengendali pengangkutan, badan penguatkuasaan dan agensi teknikal berkongsi maklumat, selain menyelaras perancangan serta menangani isu pengurusan trafik bandar bersama-sama.

Lee mendedahkan dalam mesyuarat terdahulu, beliau meminta Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan kementeriannya merangka piawaian serta garis panduan bagi pelaksanaan sistem lampu isyarat pintar di Sarawak.

"Oleh itu, saya dengan sukacita memaklumkam, dengan input teknikal daripada SMA, Piawaian dan Garis Panduan Untuk Lampu Isyarat Pintar Sarawak telahpun dikeluarkan secara rasmi kepada kementerian dan agensi berkaitan pada Februari tahun ini," ujarnya.

Sementara itu, dalam mesyuarat semalam, beliau berkata wakil daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak turut membentangkan taklimat mengenai statistik kemalangan di Sarawak.

Statistik itu katanya, perlu bagi membolehkan agensi berkaitan menganalisis trend kemalangan dengan lebih baik serta menggabungkan dapatan tersebut dalam strategi pengurusan trafik lebih berkesan.

Beliau menegaskan, pengurusan trafik bandar berkesan bukan sahaja penting bagi meningkatkan pengalaman perjalanan harian pengguna jalan raya, malah membantu menambah baik kecekapan operasi bandar serta menyokong pembangunan ekonomi.

"Menangani cabaran trafik bandar memerlukan kerjasama berterusan antara agensi kerajaan dan pihak berkepentingan termasuk memperkukuh penguatkuasaan, melebarkan jalan raya, membangunkan laluan alternatif, memasang sistem lampu isyarat pintar, menambah baik serta menaik taraf sistem pengangkutan jalan.

"Ia turut melibatkan pengurusan tempat letak kereta dan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai keselamatan jalan raya," katanya.

Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pengangkutan (Penerbangan dan Jalan Raya) Datuk Dr Jerip Susil, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTs) Mohamad Lotfi Tuah dan pegawa-pegawai kanan MOTs serta wakil daripada agensi-agensi berkaitan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

20-4-2026 03:26 PM GMT+8 , Processed in 0.053804 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list