
Dr Abdul Rahman Junaidi menghadiri program World Quran Hour 2026 Peringkat Sarawak di Serian hari ini. Turut kelihatan, Misnu serta dif-dif kenamaan lain.
SERIAN: Hampir 600 umat Islam berhimpun di Masjid Darul Makmur di sini hari ini, untuk menyertai program World Quran Hour 2026 Peringkat Sarawak yang kini memasuki tahun ke-11 penganjurannya.
Program dianjurkan oleh Pustaka Negeri Sarawak dengan kerjasama Masjid Darul Makmur Serian serta rakan sinergi lain itu bertujuan menggalakkan masyarakat membaca, memahami dan menghayati al-Quran.
Acara tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Pustaka Negeri Sarawak dalam kenyataan berkata, program bertemakan ‘Membentuk Manusia Sebelum Membangun Dunia’ pada tahun ini memberi fokus kepada Surah Al-Muzzammil.
Menurutnya, surah ke-73 dalam al-Quran itu menekankan kepentingan membina kekuatan spiritual, disiplin diri dan keteguhan jiwa sebagai asas membentuk masyarakat beradab, penyayang serta berdaya tahan menghadapi cabaran kehidupan moden.

Sebahagian umat Islam yang berhimpun di Masjid Darul Makmur di Serian bagi menyertai program World Quran Hour 2026 Peringkat Sarawak hari ini.
Antara pengisian program ialah sesi perkongsian ‘Journey of Quran – Ibrah Surah Al-Muzzammil’ oleh Jurulatih Utama Tadabbur Centre Sdn Bhd Ustaz Muhammad Shaari Abdul Rahman.
Selain itu, bacaan Surah Al-Fatihah, Surah Al-Baqarah ayat satu hingga lima serta Surah Al-Muzzammil ayat satu hingga 20 dipimpin oleh Guru Tahfiz Mattary Ustaz Mohd Safwan Mahli.
Diikuti Sesi tadabbur Surah Al-Muzzammil oleh Pengurus Lajnah Kawalan dan Komunikasi Darul Huffaz Quranic Centre - Majlis Islam Sarawak (DHQc-MIS) Ustaz Wan Muhammad Mujahid Wan Alwi.
Program turut dimeriahkan dengan persembahan qasidah oleh Madrasah Al-Khairat Kuching serta penyerahan Wakaf Ilmu sebagai simbolik sokongan terhadap usaha menyebarkan ilmu dan membudayakan pembacaan al-Quran dalam masyarakat.
Dengan penganjuran World Quran Hour di Serian, Pustaka Negeri Sarawak berharap masyarakat bukan sahaja menyemarakkan semangat Ramadan, malah kembali mengangkat al-Quran sebagai asas pembinaan sahsiah, keharmonian dan kesejahteraan sosial.
Hadir sama pada acara tersebut ialah Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha serta dif-dif kenamaan lain.

Sebahagian umat Islam yang berhimpun di Masjid Darul Makmur di Serian bagi menyertai program World Quran Hour 2026 Peringkat Sarawak hari ini.
Sumber : Utusan Borneo
|