
KUALA LUMPUR: Amalan media yang beretika dan bertanggungjawab semakin penting dalam era digital apabila naratif yang disebarkan mampu memberi manfaat atau kemudaratan kepada wanita serta kanak-kanak perempuan.
Sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 yang diraikan pada 8 Mac setiap tahun, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bersama Majlis Media Malaysia (MMM) menzahirkan komitmen bersama untuk memperkasa kesaksamaan gender, memelihara maruah serta memperkukuh amalan media yang beretika dan bertanggungjawab di Malaysia.
Kedua-dua institusi dalam satu kenyataan bersama memaklumkan bahawa Hari Wanita Antarabangsa menjadi peringatan penting bahawa prinsip kesaksamaan dan tanpa diskriminasi bukan sahaja perlu diterjemahkan dalam undang-undang dan dasar malah dalam wacana awam.
Menurut kenyataan itu, media mempunyai pengaruh besar dalam membentuk sikap masyarakat dan naratif awam sama ada untuk mengukuhkan atau mencabar stereotaip yang memudaratkan.
“Oleh itu, amalan media yang responsif terhadap gender serta menghormati hak asasi manusia amat penting dalam usaha membina masyarakat yang lebih inklusif dan adil,” menurut kenyataan itu.
Susulan perbincangan konstruktif antara kedua-dua institusi, SUHAKAM dan MMM menyatakan hasrat untuk memperkukuh dialog serta kerjasama berkaitan titik pertemuan antara hak asasi manusia dan tadbir urus media.
Kerjasama tersebut mencerminkan peranan saling melengkapi antara kedua-dua institusi selain mengiktiraf bahawa kewartawanan beretika dan perlindungan hak asasi manusia saling memperkukuh antara satu sama lain.
SUHAKAM yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597), mempunyai mandat mempromosi dan melindungi hak asasi manusia, termasuk kesaksamaan, maruah serta kebebasan bersuara.
Sementara itu, MMM yang ditubuhkan di bawah Akta Majlis Media Malaysia 2025 (Akta 868) merupakan badan berkanun bebas yang bertanggungjawab memastikan kewartawanan beretika, mentadbir Kod Etika Majlis Media, mengurus aduan berkaitan amalan media tidak beretika serta memperkukuh kepercayaan awam terhadap media.
Antara bidang kerjasama yang berpotensi diteroka termasuk inisiatif pembangunan kapasiti, pembangunan modul latihan serta penubuhan kumpulan kerja bagi meneliti etika media daripada perspektif gender.
Kedua-dua institusi juga berhasrat meneroka beberapa langkah termasuk mempromosi standard penulisan media yang peka terhadap gender dan kanak-kanak, menggalakkan pelaporan bertanggungjawab mengenai isu yang memberi kesan kepada wanita, kanak-kanak serta komuniti rentan selain menyokong persekitaran kerja lebih selamat untuk wartawan khususnya wanita.
Selain itu, kerjasama tersebut turut melibatkan usaha menangani gangguan dan intimidasi terhadap wartawan ketika menjalankan tugas, memperkukuh dialog institusi berkaitan aduan serta akauntabiliti selain meningkatkan kesedaran mengenai peranan media dalam memajukan kesaksamaan dan mencegah kemudaratan.
Inisiatif berkenaan selaras dengan komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) dan Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menekankan kepentingan menangani stereotaip memudaratkan, diskriminasi berasaskan gender serta keganasan melalui pendekatan pencegahan dan pendidikan.
Menurut kenyataan itu, langkah berkenaan penting memandangkan kecenderungan gangguan dalam talian serta penyebaran maklumat salah berunsur gender yang semakin meruncing.
Seiring transformasi digital yang mengubah landskap media di Malaysia, peningkatan penyebaran maklumat salah serta kemunculan teknologi baharu menuntut kebebasan media dilaksanakan secara bertanggungjawab dengan menghormati maruah manusia.
“Menegakkan standard etika dan memelihara kebebasan bersuara merupakan asas penting untuk memastikan akauntabiliti demokratik serta memupuk kepercayaan awam,” kata kenyataan itu lagi.
Sementara Pesuruhjaya SUHAKAM Melissa Akhir berkata, Hari Wanita Antarabangsa mengingatkan masyarakat tentang kepentingan mewujudkan persekitaran media yang mempromosikan kesaksamaan, keadilan dan rasa hormat.
“Memajukan hak wanita dan memperkukuh kewartawanan beretika merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan komitmen berterusan,” katanya.
Ahli Lembaga MMM Gayathry Venkiteswaran pula menjelaskan pihaknya berbesar hati bekerjasama dengan SUHAKAM dalam memperkukuh kesaksamaan dan sensitiviti gender dalam liputan berita.
“Pelaporan yang beretika, adil dan inklusif penting untuk membina kepercayaan awam serta memperkukuh wacana demokrasi.
“Pelaporan sensitif terhadap gender membantu masyarakat memahami realiti dan sumbangan semua anggota masyarakat sekali gus membawa kepada kewartawanan yang lebih tepat serta perbahasan awam yang lebih bermaklumat,” katanya.
Beliau berkata, MMM turut komited memajukan standard bilik berita yang bukan sahaja melindungi kebebasan akhbar tetapi juga melindungi wartawan wanita daripada diskriminasi, gangguan dan ancaman yang boleh menjejaskan keupayaan mereka untuk melaporkan secara bebas dan selamat.
Sehubungan itu, SUHAKAM dan MMM menegaskan bahawa ekosistem media yang peka terhadap isu gender selaras dengan hak asasi manusia dan dilaksanakan secara bertanggungjawab merupakan asas penting bagi memastikan setiap individu tanpa mengira gender dapat menikmati kehidupan yang bermaruah, saksama dan selamat.
Sumber : Utusan Borneo
|