
Uggah menyantuni mangsa banjir di PPS Dewan Masyarakat Stapok sebelum PPS itu ditutup jam 12 tengah hari tadi. - Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka susulan kejadian banjir di daerah ini ditutup sepenuhnya pada jam 12 tengah hari tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kemas kini laporan bencana memaklumkan, keputusan penutupan itu dibuat selepas keadaan banjir semakin pulih dan jumlah mangsa yang dipindahkan menunjukkan trend menurun.
Menurut laporan itu, PPS Dewan R-Piang yang dibuka semalam menempatkan seramai 116 mangsa daripada 24 ketua isi rumah (KIR).
PPS Dewan Masyarakat Stapok yang dibuka pada tarikh sama merekodkan seramai 224 mangsa daripada 66 KIR, namun jumlah mangsa di pusat berkenaan dilaporkan semakin berkurangan.
Sementara itu, Timbalan Premier yang juga Pengerusi JBPNS Datuk Amar Douglas Uggah Embas berpuas hati dengan pengurusan keseluruhan PPS yang berjalan lancar.
"Kita berharap mereka yang terkesan akibat bencana akan berasa lebih selesa sepanjang berada di sini.
"Saya berpuas hati dengan pengurusannya, semua telah diatur dengan lancar.
"Walaupun terdapat warga emas dan orang kurang upaya (OKU), mereka memberi kerjasama sepenuhnya tanpa sebarang masalah.
"Bekalan barangan keperluan juga mencukupi dan mangsa nampaknya berpuas hati," katanya kepada pemberita selepas melawat PPS Dewan Masyarakat Stapok hari ini.
Uggah berkata, penduduk yang terjejas juga memberi maklum balas segera kepada arahan pihak berkuasa apabila dinasihat berpindah ke PPS.
"Ini dapat dilakukan kerana pihak berkuasa telah mewujudkan sistem dan bertindak mengikut prosedur operasi standard (SOP).
"Jika sebarang situasi berlaku, ia diselaras menerusi Pejabat Residen dan Pejabat Daerah, dibantu pelbagai agensi bagi memastikan keselamatan mangsa banjir," jelasnya.
Menurutnya, antara agensi terlibat ialah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
"Tidak ada kejadian tidak diingini berlaku semasa proses pemindahan mangsa. JPBNS dan ahlinya akan terus menambah baik perkhidmatan disediakan dalam mengurus situasi bencana," katanya.
Uggah juga memberitahu, berdasarkan jadual cuaca diwartakan, Monsun Timur Laut (MTL) dijangka berakhir hujung Mac ini, bagaimanapun tiada jaminan hujan tidak akan turun dan banjir tidak akan berlaku selepas itu.
"Ini kerana (kalau) berpandukan kepada pengalaman lepas, kadang-kadang Ogos pun hujan berlaku dan ada tempat yang banjir, jadi jawatankuasa-jawatankuasa kita kena bersiap siaga, memastikan mangsa dapat dibantu pada bila-bila masa.
"Ini penting bagi memastikan keadaan selamat. Kita berharap Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, hujan bersimpati dengan kita, (hujan) berhenti," katanya.
Hadir sama ialah Timbalan Premier merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
|