
OPERASI: JHEAINS bersama APM menjalankan kerja-kerja pembaikan dan pemasangan kanvas di kawasan runtuhan.
SANDAKAN: Penduduk di daerah ini tidak lagi dibenarkan menjalankan pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Sim-Sim susulan kejadian runtuhan tanah yang merosakkan kira-kira 20 kubur di kawasan berkenaan, semalam.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Awang Juri Ag Tahir berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira faktor keselamatan serta keadaan kawasan perkuburan yang sudah terlalu padat.
Katanya, Tanah Perkuburan Islam Batu 11 dikenal pasti sebagai lokasi sesuai untuk dijadikan kawasan pengebumian baharu bagi menggantikan Tanah Perkuburan Sim-Sim.
“Hasil siasatan mendapati kejadian runtuhan itu berpunca daripada kepadatan kawasan perkuburan akibat aktiviti penggalian kubur di bahagian bawah cerun yang dilakukan berulang kali sehingga menjejaskan struktur tanah.
“Keadaan itu menyebabkan tanah menjadi lemah sebelum berlaku runtuhan, lebih-lebih lagi selepas hujan lebat berterusan sejak semalam,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak lagi menjalankan pengebumian di kawasan tanah runtuh berkenaan bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan.
Pada masa sama, katanya, kerja pembaikan sementara sedang dijalankan dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan termasuk pemasangan kanvas bagi mengurangkan aliran air hujan dan mengelakkan runtuhan susulan.
“Jenazah yang terjejas akibat runtuhan akan dipindahkan dan dikebumikan semula di lokasi lain dengan persetujuan waris.
“Sekiranya waris bersetuju, jenazah akan dipindahkan dan dikebumikan semula di lokasi lain. Namun bagi waris yang mahu jenazah kekal di tempat asal, pihak kami akan mengebumikannya semula di kawasan yang sama,” katanya.
Terdahulu, kira-kira 20 kubur di Tanah Perkuburan Sim-Sim di sini dilaporkan rosak selepas cerun di kawasan berkenaan runtuh dalam kejadian awal pagi semalam.
Sumber : Utusan Borneo
|