
PINDAH: Proses pemindahan penduduk di Paitan masih berjalan berikutan banjir di daerah terbabit masih teruk.
KOTA KINABALU: Situasi banjir di daerah Paitan mencatat peningkatan apabila seramai 270 penduduk daripada 82 ketua isi rumah masih berada di empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 4 petang Rabu.
Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) berkata, Data Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) menunjukkan jumlah penduduk terjejas melibatkan 26 kampung di daerah berkenaan.
Katanya, empat PPS yang masih beroperasi ialah Pusat Komuniti Batagon Darat, Gereja PCS Purubatu, Surau NR Hikmah Kampung Kaindangan dan Dewan Sekolah Kebangsaan Lubang Buaya.
“Pusat Komuniti Batagon Darat menempatkan 66 mangsa daripada 17 ketua isi rumah, manakala PPS Gereja PCS Purubatu menempatkan 61 mangsa daripada 20 ketua isi rumah.
“Surau NR Hikmah Kampung Kaindangan menempatkan sembilan mangsa daripada empat ketua isi rumah, sementara Dewan SK Lubang Buaya menempatkan jumlah paling ramai iaitu 134 mangsa daripada 41 ketua isi rumah,” katanya.
SELAMAT: Sebahagian penduduk dipindahkan ke PPS di Paitan
Sementara itu katanya, situasi banjir di Kota Marudu dan Pitas menunjukkan perkembangan positif apabila semua PPS di kedua-dua daerah sudah ditutup.
“Di Kota Marudu, dua PPS iaitu di SMK Tandek 2 dan SMK Tandek ditutup pada jam 2 petang selepas semua mangsa pulang ke rumah masing-masing.
“Di Pitas pula, PPS Dewan Sinukab yang dibuka pada 10 Mac ditutup pada jam 3 petang Rabu selepas keadaan banjir surut.
“Secara keseluruhan, rekod Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah menunjukkan seramai 288 penduduk daripada 87 ketua isi rumah terjejas akibat bencana di seluruh negeri melibatkan lima daerah dan 40 kampung,” katanya.
Menurutnya, selain banjir, kejadian tanah runtuh di Sandakan menjejaskan lima ketua isi rumah membabitkan 18 penduduk.
“Hujan lebat berterusan sejak 9 Mac menyebabkan paras air meningkat dan menenggelamkan beberapa kawasan perkampungan serta laluan utama di Paitan.
“Keadaan itu menyebabkan rumah penduduk dimasuki air dan beberapa jalan termasuk Jalan Meridien serta laluan ke Kampung Batagon Darat tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan.
“Sebanyak 30 kampung turut dilaporkan terputus hubungan akibat banjir termasuk Kampung Tangkarason, Kampung Penubukan, Kampung Sungai Tangkarason, Kampung Bawang, Kampung Batagon Laut, Kampung Simpangan, Kampung Dalamas, Kampung Lubang Buaya dan Kampung Purubatu,” katanya.
PULANG: Penghantaran pulang mangsa banjir ke rumah masing-masing selepas keadaan banjir semakin pulih.
Tambahnya, turut terjejas Kampung Kabuluh, Kampung Maidan, Kampung Pinangkau, Kampung Pinampadan, Kampung Kinggaton, Kampung Golong, Kampung Tinimbusan, Kampung Tanjung Nipis, Kampung Sokoon, Kampung Tebatu, Kampung Obah, Kampung Marmahat, Kampung Pantai Boring, Kampung Benang, Kampung Alungai, Kampung Linayukan dan Kampung Kaindangan.
Operasi pemantauan dan pemindahan mangsa dilaksanakan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan keutamaan diberikan kepada kawasan terputus hubungan serta berisiko tinggi.
TUTUP: PPS di Kota Marudu dan Pitas ditutup.
Pemantauan paras air sungai mendapati Sungai Sugut, Sungai Telidusan dan Sungai Kaindangan berada pada paras waspada, manakala Sungai Paitan, Sungai Tangkarason dan Sungai Golong mencatat paras amaran.
Sumber : Utusan Borneo
|