|
|
Batu Pahat: Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, tadi, atas pertuduhan menyeludup migran warga asing bulan lalu.
Tertuduh, Md Zaid Abdullah, 60, hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang juga peniaga warung memandangkan kes ini di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak didakwa menyeludup migran lelaki warga Indonesia di sebuah rumah di Taman Sri Banang, Jalan Minyak Beku, di sini, 8.45 malam, 15 Februari lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26A, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan laporan, polis menyerbu sebuah rumah hasil maklumat dan intipan berkaitan aktiviti penyeludupan migran.
Dalam serbuan itu, polis menemui migran lelaki di rumah terbabit yang sedang menunggu pulang ke negara asal.
Hasil pemeriksaan mendapati, migran itu melakukan kesalahan kerana memasuki Malaysia tanpa pas yang sah.
Siasatan polis juga mendapati, tertuduh menerima bayaran RM2,000 sebagai 'transporter' dengan menyediakan tempat tinggal, makanan dan minuman kepada migran sebelum mereka dihantar pulang.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan.
Terdahulu pihak pendakwaan tidak menawarkan ikat jamin selari dengan Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
"Dalam kes ini, pihak pendakwaan menggunakan sekyen ini dalam jadual pertama Sosma yang mana jaminan tidak boleh diberikan kepada individu yang didakwa dengan kesalahan keselamatan," hujahnya.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan dengan kes disebut semua pada 2 Julai ini.
Sumber : Harian Metro |
|