
Grafik yang dikongsi Nanta di laman Facebook beliau yang tertera perkataan 'Fake News' - mendakwa beliau mengeluarkan kenyataan, GPS tiada halangan bekerjasama dengan PAS. - Gambar Facebook/Alexander Nanta Linggi
KUCHING: Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dato Sri Alexander Nanta Linggi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tular baru-baru ini mendakwa beliau pernah mengeluarkan kenyataan berkaitan kerjasama politik antara GPS dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
"Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tular baru-baru ini kononnya saya pernah mengeluarkan kenyataan tertentu berkaitan kerjasama politik. "Kenyataan itu tidak pernah saya keluarkan dan tidak benar sama sekali," tegasnya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau hari ini.
Menteri Kerja Raya dan Ahli Parlimen Kapit itu menambah, beliau meluahkan rasa amat kecewa dengan tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu sehingga mengelirukan pelbagai pihak.
Justeru beliau meminta pihak tidak bertanggungjawab itu berhenti menyebarkan maklumat tidak sahih tersebut.
"Hentikan penyebaran maklumat tidak sahih. Semak fakta sebelum berkongsi," ujarnya.
Beliau turut memuat naik satu imej yang melabelkan dakwaan tular itu sebagai 'Fake News' (Berita Palsu) merujuk kepada grafik mendakwa 'GPS tiada halangan bekerjasama dengan PAS'.
Sumber : Utusan Borneo
|