
DR YII
KUCHING: Cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak perlu mematuhi sepenuhnya prinsip Perlembagaan serta memberi ruang secukupnya untuk penelitian dan rundingan awam.
Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata, walaupun secara umum beliau menyokong penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sarawak, proses persempadanan semula perlu mengambil kira prinsip pembahagian kerusi, pemberatan kawasan serta hubungan tempatan agar kepentingan semua rakyat Sarawak terus terpelihara.
Katanya, Perlembagaan Persekutuan melalui Subseksyen 2(c) Jadual Ketiga Belas menetapkan bahawa jumlah pengundi bagi setiap kawasan pilihan raya seharusnya hampir sama, kecuali bagi kawasan luar bandar yang berdepan kekangan geografi.
Namun katanya, ketidakseimbangan pembahagian pengundi ketika ini agak ketara apabila kawasan Parlimen Miri mempunyai 149,441 pengundi berbanding Igan yang hanya mempunyai 29,132 pengundi, iaitu nisbah kira-kira 5:1.
Beliau turut memberi contoh bagi kerusi DUN apabila Senadin mempunyai 73,430 pengundi berbanding Gedong dengan hanya 10,380 pengundi, iaitu nisbah kira-kira 7:1.
"Situasi tersebut menunjukkan wujudnya ketidakseimbangan yang sepatutnya ditangani oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui proses persempadanan semula," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Yii turut mempersoalkan mengapa kawasan Parlimen Bandar Kuching yang mempunyai jumlah pengundi hampir sama dengan Petra Jaya tidak menerima kerusi baharu sedangkan Petra Jaya dilaporkan bakal memperoleh dua kerusi tambahan.
Keadaan tersebut kata Dr Yii seolah-olah mewujudkan dua kelas pengundi di kawasan bandar, selain berpotensi berlaku perkara sama di kawasan luar bandar.
Walaupun mengakui terdapat peruntukan pemberatan kawasan bagi kawasan luar bandar, beliau menegaskan ia seharusnya hanya diberikan kepada kawasan yang benar-benar luas dan sukar diakses seperti Hulu Rajang dan Baram.
Sehubungan itu, beliau menyeru SPR bertindak secara bebas tanpa sebarang tekanan politik serta memastikan proses persempadanan semula dilaksanakan secara telus dengan memberi ruang mencukupi kepada penelitian dan penyertaan awam demi menjaga kepentingan semua rakyat Sarawak.
"Apabila Gabungan Parti Sarawak (GPS) mendakwa memperjuangkan slogan ‘Sarawak First’, ia sepatutnya bermaksud memperjuangkan semua rakyat Sarawak tanpa mengira kaum, agama atau demografi.
"Namun sekiranya khabar angin mengenai persempadanan semula ini benar dan akhirnya mewujudkan dua kelas rakyat Sarawak di kawasan bandar dan luar bandar, maka ini bukanlah ‘Sarawak First’ tetapi lebih kepada ‘Party First’," ujarnya.
Dalam pada itu, penambahan kerusi DUN Sarawak daripada 82 kepada 99 telah dimuktamadkan dan berkuat kuasa pada 8 Ogos tahun lalu selepas diluluskan di DUN Sarawak.
Sumber : Utusan Borneo
|