CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 168|Reply: 0

[Sarawak] Rancangan PAS bertanding di beberapa kerusi perlu ambil kira keadilan, perwakilan seimbang

[Copy link]
Post time 10-3-2026 12:22 PM | Show all posts |Read mode


Nancy ketika ditemui pemberita Program Shopping Raya Bersama Anak-anak Asnaf di sebuah pusat beli-belah di Kuching, hari ini. - Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Rancangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sarawak untuk bertanding di beberapa kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang, termasuk Beting Maro perlu mengambil kira aspek keadilan dan perwakilan seimbang dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri berkata, perkara itu penting memandangkan Sarawak mempunyai kepelbagaian etnik serta kawasan geografi yang luas.

“Perkara ini lebih sesuai dijawab oleh kepimpinan tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kerana saya tidak mempunyai banyak maklumat mengenainya.

“Namun apa yang penting ialah pembahagian kerusi perlu dilakukan secara adil,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Shopping Raya Bersama Anak-anak Asnaf di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas hasrat PAS Sarawak yang menyatakan minat untuk bertanding sekurang-kurangnya empat kerusi dalam PRN Sarawak akan datang, termasuk Beting Maro.

Mengulas lanjut, Nancy berkata pengagihan kerusi perlu mengambil kira perwakilan semua kaum di Sarawak seperti Melayu, Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan Cina.

Beliau turut mengimbas pendekatan bekas Ketua Menteri Sarawak yang terdahulu menitikberatkan keseimbangan perwakilan etnik dalam pembahagian kerusi pilihan raya.

“Jika Kelabit sudah ada, Kenyah sudah ada, maka perlu dilihat pula kumpulan etnik lain supaya semua masyarakat di Sarawak diwakili secara seimbang,” tambahnya.

Menurutnya, langkah itu penting kerana Sarawak merupakan negeri yang sangat luas, hampir menyamai keluasan Semenanjung Malaysia serta memerlukan perancangan teliti dalam memastikan setiap komuniti mempunyai wakil.

Nancy pada masa yang sama turut menegaskan tuntutan Sarawak kepada kerajaan persekutuan bukanlah bertujuan untuk meminta lebih, sebaliknya bagi memudahkan pentadbiran serta membantu rakyat di negeri ini.

“Sarawak hanya memohon perkara yang sepatutnya bagi memudahkan urusan pentadbiran dan membantu masyarakat.

“Kita mempunyai hak untuk memohon supaya ia dipertimbangkan secara adil dan saksama,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mendedahkan pengumuman penting berkaitan inisiatif untuk memperkasakan wanita bakal dibuat oleh Perdana Menteri pada sambutan Hari Wanita Antarabangsa peringkat kebangsaan yang akan berlangsung pada 10 Mac ini.

Majlis sambutan itu akan diadakan di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dan pelbagai aktiviti akan tetap diteruskan seperti biasa dengan kerjasama rakan strategik kementerian.

Menurutnya, antara pengisian program termasuk pengiktirafan kepada ikon wanita, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif memperjuangkan kepentingan wanita serta syarikat yang memberi perhatian dan peluang kepada golongan wanita.

“Kita juga menyediakan penghargaan atau anugerah kepada NGO yang bekerja demi kepentingan wanita serta syarikat yang memberi keutamaan kepada wanita,” jelasnya.

Nancy turut memaklumkan kementeriannya telah menyediakan beberapa cadangan inisiatif bagi membantu wanita, khususnya dalam memudahkan mereka mendapatkan ilmu dan bantuan.

Bagaimanapun, beliau berkata pengumuman mengenainya bergantung kepada keputusan kerajaan dan akan diumumkan oleh Perdana Menteri sekiranya dipersetujui.

“Ada sesuatu yang telah kita sediakan, terutama sekali untuk membantu wanita dan memberi peluang kepada mereka mendapatkan ilmu serta bantuan.

“Namun pengumuman itu terpulang kepada Perdana Menteri sama ada ia akan diumumkan pada sambutan tersebut nanti,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

21-5-2026 04:35 PM GMT+8 , Processed in 0.044049 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list