
Fadillah menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat dan Pek Makanan di Surau Darul Ikhlas TM Sarawak Hub di Petra Jaya, hari ini.
KUCHING: Beberapa perkara yang dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) pada 2 Mac lalu, akan dibawa ke mesyuarat majlis tertinggi untuk pengesahan sebelum sebarang pengumuman rasmi dibuat.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, perkara yang dipersetujui ini termasuk melibatkan kertas kerja yang dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Saya perlu membawa perkara-perkara ini untuk pengesahan dan persetujuan oleh majlis tertinggi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihadiri Ketua Menteri Sabah serta Premier Sarawak. Hanya selepas itu kita akan mengumumkan butirannya.
“Setakat ini, mesyuarat hanya diadakan di peringkat teknikal di mana melaporkan hasil daripada jawatankuasa kerja. Perkara-perkara tersebut telah disemak dan dipersetujui di peringkat teknikal sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat dan Pek Makanan di Surau Darul Ikhlas TM Sarawak Hub di Petra Jaya di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Fadillah menjangkakan mesyuarat itu dapat diadakan secepat mungkin, dengan sasaran Mei atau Jun tahun ini.
Selain kertas kerja yang dibentangkan oleh KKM dan KPM, Fadillah turut memberitahu, perkara lain yang dipersetujui dalam mesyuarat MTPMA63 termasuk isu pentadbiran negeri dan perkara yang boleh diberi serah kuasa kepada Sarawak dan Sabah.
“Tambahan pula, platform digital bagi memantau kemajuan 29 tuntutan utama di bawah MA63, iaitu Dashboard MA63, akan melalui penambahbaikan lanjut,” menurut Ahli Parlimen Petra Jaya itu.
Ditanya mengenai formula pembahagian hasil cukai melibatkan Sarawak, berkaitan geran khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, Fadillah berkata perkara itu akan diperincikan lagi antara Kementerian Kewangan Malaysia dan Pejabat Kewangan Negeri.
“Semua perkara yang dibincangkan masih belum mempunyai keputusan muktamad kerana ia perlu dibawa ke majlis tertinggi MTPMA63 yang merupakan badan membuat keputusan,” tegasnya.
Mengenai rakyat Malaysia yang berada di kawasan berisiko konflik di Asia Barat, beliau berkata kabinet telah menyusun program untuk membawa mereka pulang, dan kerajaan juga sedang berunding dengan syarikat penerbangan bagi menyewa pesawat untuk tujuan itu.
“Kementerian Luar Negeri telah menasihatkan semua rakyat Malaysia supaya tidak melancong ke Asia Barat pada masa ini, walaupun sebahagian ruang udara masih dibuka, terutamanya di Arab Saudi,” tambahnya.
Beliau turut mengulangi nasihat Perdana Menteri supaya setiap negeri menilai stok bekalan asas dan bersiap sedia sekiranya konflik berterusan.
“Jika konflik berterusan, kos sudah pasti meningkat. Logistik akan bertambah dan kos logistik yang lebih tinggi akan menjejaskan harga barangan lain.
“Ini akan memberi impak kepada negara kita kerana banyak barangan diimport dan harganya akan meningkat,” katanya.
Terdahulu, seramai 60 golongan asnaf di kawasan Parlimen Petra Jaya serta dua masjid dan surau menerima sumbangan zakat dan pek makanan pada majlis tersebut.
|