
FAIRUZ
KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah menegaskan tidak akan memberi ruang kepada penjual rokok haram di seluruh negeri, lebih-lebih lagi jika mereka menunjukkan lagak samseng.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Fairuz Renddan berkata, tindakan tegas akan diambil bagi membanteras kegiatan penjualan rokok haram di semua kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Kita akan banteras dan usir semua, golongan samseng sebegini tidak akan dibenar menjejak kaki dan menjual rokok mereka yang sudah terang-terang dilakukan secara haram di semua kawasan PBT, bukan cuma di Sandakan tetapi di seluruh negeri.
“Insiden malang di Sandakan amat tidak wajar dan mulai sekarang kementerian mulakan tindakan lebih keras supaya samseng ini tiada ruang menjaja rokok haram,” katanya dalam kenyataan media, di sini.
Beliau mengulas video tular di laman media sosial yang memaparkan seorang penguat kuasa cedera selepas dipercayai dipukul sekumpulan lelaki yang berlagak samseng.
Kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa menegur seorang penjual rokok supaya tidak menjual rokok di kawasan Pasar Batu 8, Sandakan kira-kira jam 2.30 petang kelmarin.
Fairuz berkata, kesalahan menjual rokok haram dan rokok seludup berada di bawah bidang kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), namun kementerian akan memperhebat usaha bagi mengekang kegiatan penjualan rokok berkenaan di kawasan PBT.
“Kita ingin ingatkan semua penjual rokok haram di kawasan PBT seluruh Sabah supaya berhenti sekarang. Jangan tunjuk pandai dan cuba jadi samseng apabila pegawai menegur.
“Apa yang anda lakukan satu kesalahan dan perlu akur dengan teguran diberikan. Sebaliknya anda bertindak seperti pemilik kawasan dan sesuka hati memukul pegawai yang bertugas.
“Jangan ulang kejadian ini lagi. Saya ingatkan, jangan cuba ulang kejadian seumpama ini,” katanya.
Dalam masa sama, Fairuz berkata kementerian sentiasa berusaha memastikan keselamatan serta keharmonian di semua kawasan PBT terus terjamin.
Katanya, mana-mana pihak yang mengganggu ketenteraman awam di kawasan PBT akan berdepan tindakan tegas dan hukuman setimpal.
“Kawasan awam sepatutnya selamat, harmoni dan aman kerana semua orang menjalankan aktiviti rutin harian selagi tidak melanggar mana-mana undang-undang negara.
“Andai ada pihak mementingkan diri, mahu tunjuk hero atau bertindak seolah-olah pemilik kawasan sehingga memukul pegawai yang bertugas, kita tidak akan memandang ringan dan membiarkannya,” katanya.
|