
Projek menaik taraf STOLport Bario kini mencapai kemajuan fizikal 50.62 peratus. - Gambar JKR Sarawak
MIRI: Projek menaik taraf STOLport Bario kini mendahului jadual dengan kemajuan fizikal mencapai 50.62 peratus, kata Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.
Perkembangan itu dimaklumkan menerusi hantaran JKR Sarawak di Facebook pada Khamis, susulan lawatan Pengarah Kerja Raya Sarawak Datu Dr Cassidy Morris ke lapangan terbang pedalaman berkenaan.
Lawatan itu merupakan sebahagian daripada Siri Kedua Lawatan Pemerkasaan Projek, di mana beliau turun padang meninjau sendiri pelaksanaan kerja di tapak, manakala projek berkenaan disasarkan siap sepenuhnya pada September 2026.
Inisiatif itu merupakan antara projek utama kerajaan negeri bagi memperkukuh rangkaian pengangkutan udara di kawasan pedalaman Sarawak, sekali gus meningkatkan piawaian keselamatan penerbangan dan kecekapan operasi untuk komuniti luar bandar yang bergantung kepada perkhidmatan udara.
Skop kerja merangkumi pelbagai komponen kejuruteraan awam dan infrastruktur termasuk pembersihan tapak, kerja tanah dan geoteknikal, pembinaan sistem perparitan, sambungan landasan serta pembinaan laluan berlepas dan jalan akses.
Turut dilaksanakan ialah pembinaan bangunan baharu Sistem Cuaca Automatik (AWS), selain kerja pembaikan bangunan terminal, pemasangan mekanikal dan elektrik, serta pemasangan pagar keselamatan dan penunjuk arah angin.
Bagi melengkapkan skop projek, kerja lanjutan kawasan parkir pesawat, pembinaan laluan masuk ke petak parkir pesawat dan penurapan semula kawasan parkir sedia ada turut dijalankan bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan operasi di lapangan terbang berkenaan.
JKR Sarawak berkata, lawatan pengarah negeri itu mencerminkan komitmen berterusan jabatan berkenaan untuk memastikan setiap projek infrastruktur dilaksanakan secara cekap dan berkualiti demi manfaat jangka panjang kepada komuniti luar bandar di seluruh negeri.
Sumber : Utusan Borneo
|