
Suspek (barisan atas, tengah) yang disyaki terlibat kes akaun keldai ditahan. Suspek-suspek yang positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
LAWAS: Seorang lelaki tempatan kerugian RM11,540 selepas menjadi mangsa kes tipu pinjaman tidak wujud menerusi laman sosial dalam kejadian pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan berkata, mangsa berminat setelah ternampak satu iklan pinjaman wang.
“Mangsa telah membuat beberapa bayaran atas alasan guaman dan proses tetapi masih tidak menerima wang dan menyedari telah ditipu.
“Kes disiasat mengikut seksyen 420 Kanun Keseksaan,”ujarnya.
Dalam kes berasingan katanya, seorang wanita warga emas antara dua individu yang dicekup kerana disyaki terlibat dalam kes akaun keldai dalam dua kes berasingan di sini.
Kata beliau, suspek wanita yang juga seorang peniaga, 62, ditahan jam 9.47 pagi semalam kerana terlibat dengan jenayah itu di bandar Baru Bangi Selangor September lepas.
“Kes berkenaan melibatkan kerugian RM 14,700 dah suspek wanita mengakui tidak tahu akaunnya digunakan oleh orang lain untuk tujuan penipuan dan semakan kesalahan lampau mendapati tiada kesalahan lampau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata lagi, suspek lelaki berusia 32 tahun turut ditahan jam 3.03 petang Selasa kerana terlibat dalam jenayah penipuan pelaburan tidak wujud di Nilai, Negeri Sembilan pada Ogos lepas yang melibatkan kerugian RM2,000.
“Suspek mengakui tidak tahu akaunnya digunakan oleh orang lain untuk tujuan penipuan.
"Semakan kesalahan lampau mendapati tiada kesalahan lampau,” ujarnya.
Kes terbabit tambahnya, disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam operasi berlainan, empat lelaki berusia 37, 35 dan 26 dan 28 tahun dicekup di bandar ini kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.
Jelasnya, hasil pemeriksaan tiada menjumpai apa-apa barang salah atau dadah namun hasil ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (AD)B 1952.
Sumber : Utusan Borneo
|