
Abdul Karim bercakap pada sidang media di Bilik Mesyuarat Mulu, Tingkat 17, Bangunan Baitulmakmur II hari ini. - Gambar Chimon Upon
KUCHING: Keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan cadangan pertambahan 17 kerusi DUN kepada 99 kerusi perlu dihormati semua.
Malah menurut Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, keputusan itu tidak wajar dilengah-lengahkan untuk tindakan lanjut di peringkat persekutuan.
“Keputusan ini telah diluluskan oleh DUN Sarawak, sebuah dewan yang berdaulat, maka keputusan itu perlu dihormati.
“Parlimen perlu mengendors perkara tersebut dan tidak seharusnya melengah-lengahkan proses berkenaan kerana ia melibatkan suara rakyat Sarawak.
“Keputusan ini juga tidak seharusnya dikaitkan dengan negeri-negeri lain memandangkan cadangan ini merupakan keputusan Kerajaan Sarawak berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada negeri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mengenai pertambahan 17 kerusi DUN Sarawak.
Azalina dalam kenyataannya berkata, cadangan pertambahan 17 kerusi DUN Sarawak memerlukan penelitian lebih mendalam kerana berkemungkinan memberi kesan kepada negeri-negeri lain.
Pada sidang media sama, Abdul Karim turut membidas kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang) Datuk Zaid Ibrahim yang menyifatkan Sarawak mahu mengawal Semenanjung Malaysia.
Tegas Abdul Karim, kenyataan Zaid adalah tidak berasas dan hanya bertujuan meraih perhatian umum.
“Terdapat segelintir ahli politik yang sudah tidak lagi mempunyai pengaruh dalam politik tetapi cuba mencari platform baharu untuk terus berada dalam perhatian.
“Mereka kalah pilihan raya, dalam parti sendiri pun tidak menang jawatan, jadi mereka perlukan platform seperti TikTok atau podcast untuk menonjolkan diri.
“Apabila ada isu sensitif, merekalah yang pertama tampil memberi kenyataan kerana itu memberi mereka peluang untuk kembali mendapat perhatian,” katanya.
Abdul Karim menegaskan, dakwaan kononnya Sarawak mahu mengawal Semenanjung Malaysia adalah tidak benar kerana negeri itu sentiasa berkongsi sumber dengan Kerajaan Persekutuan sejak pembentukan Malaysia.
Apa yang diperjuangkan Sarawak kata Abdul Karim, hanyalah perkongsian hasil yang lebih adil, khususnya melibatkan sumber minyak dan gas yang mana Sarawak hanya menerima lima peratus manakala 95 peratus lagi pergi ke tempat lain.
|