
Chien (dua kanan) bersama Ong (kanan) menunjukkan dokumen MoU yang ditandatangani antara SAINS dan HPE, baru-baru ini.
KUCHING: Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) mengumumkan satu perjanjian strategik dengan HPE di Barcelona, Sepanyol baru-baru ini bagi memperkukuh keupayaan kecerdasan buatan (AI) berdaulat serta infrastruktur awan peribadi di Sarawak.
Menurut kenyataan SAINS, kerjasama itu menetapkan rangka kerja untuk membangunkan bersama asas awan peribadi yang selamat dan berdaulat bagi mempercepat penyampaian perkhidmatan digital di samping memastikan kedudukan data serta kawalan kerajaan terpelihara.
Katanya, ia juga menyokong penubuhan infrastruktur AI berdaulat untuk meningkatkan perkhidmatan awam, memperbaiki kecekapan operasi dan membangunkan bakat AI tempatan.
Di bawah perjanjian itu, HPE akan menyokong pemodenan persekitaran awan peribadi kerajaan dengan menyediakan infrastruktur yang boleh diskala mengikut keperluan, tersedia atas permintaan serta perkhidmatan fleksibel berasaskan penggunaan.
Selain itu, sistem AI yang selamat akan diperkenalkan dengan sokongan pengkomputeran berprestasi tinggi, penyelesaian storan yang boleh dipercayai, keselamatan rangkaian lanjutan serta platform operasi AI bertaraf perusahaan bagi membolehkan pembangunan dan pengurusan AI yang lebih cekap.
Ketua Pegawai Eksekutif SAINS Busiai Seman berkata: “Kerjasama ini mengukuhkan komitmen SAINS dalam membina ekosistem digital yang selamat dan berdaulat untuk Sarawak.
“Melalui kerjasama dengan HPE, kami berhasrat mewujudkan asas AI dan awan yang dipercayai, yang melindungi data kami, meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam, serta menyokong pertumbuhan digital jangka panjang.”
Sementara itu Pengarah Urusan HPE Malaysia Toh Kean Cheah berkata,” “Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan SAINS dalam memajukan keupayaan AI berdaulat dan memperkukuh infrastruktur awan peribadi di Sarawak.
“Dengan membawa kepakaran kami dalam infrastruktur selamat bertaraf perusahaan, kami berharap dapat menyokong SAINS dalam membina asas digital yang boleh diskala, berdaya tahan dan bersedia untuk masa depan, sekali gus membolehkan inovasi sambil melindungi kedaulatan data.”
Kerjasama itu mengukuhkan komitmen Sarawak terhadap kedaulatan digital, dengan memastikan data AI, model dan beban kerja pengkomputeran kekal dalam bidang kuasa tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada awan awam luar serta platform AI yang tidak berdaulat.
Majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) berkenaan antara Ketua Pegawai Operasi SAINS Andrew Chien dan Pengurus Besar Jualan Pelanggan APAC yang juga Pengarah Urusan HPE bagi Indonesia Jason Ong berlangsung semasa Mobile World Congress 2026 di Barcelona.
MoU berkenaan disaksikan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang yang mewakili Menterinya Dato Sri Julaihi Narawi.
Sumber : Utusan Borneo
|