Edited by Vellfire at 5-3-2026 09:30 AM

Dr Abdul Rahman merakam kenangan bersama yang lain pada Majlis Agihan Mushaf Al-Quran Wakaf Bahagian Kuching hari ini. - Gambar Mohd Faisal Ahmad
KUCHING: Sebanyak 10,000 naskhah al-Quran diedarkan ke seluruh Sarawak bagi memperluaskan capaian masyarakat Islam terhadap kitab suci itu, terutama pada bulan Ramadan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, agihan itu merupakan satu usaha besar dan bermakna dalam memperkukuh pembudayaan al-Quran di kalangan masyarakat Islam di negeri ini.
Menurut beliau, setiap mushaf atau naskhah al-Quran yang diwakafkan bukan sahaja memberi manfaat kepada penerimanya tetapi juga menjadi amal jariah, yang pahalanya berterusan selagi mana ia dibaca dan dimanfaatkan.
“Sehubungan itu, penganjuran Majlis Agihan Mushaf Wakaf Bahagian Kuching amat bertepatan dengan semangat Ramadan, bulan yang dimuliakan sebagai bulan al-Quran, iaitu bulan diturunkan al-Quran sebagai petunjuk dan rahmat kepada seluruh manusia.
“Majlis ini bukan sekadar acara simbolik tetapi satu usaha memperluaskan capaian masyarakat kepada al-Quran serta menghidupkan budaya membaca dan memahami wahyu Allah SWT dalam kehidupan seharian,” katanya ketika berucap pada Majlis Agihan Mushaf Al-Quran Wakaf Bahagian Kuching di Dewan Kompleks Islam Sarawak di sini, hari ini.
Dr Abdul Rahman berharap naskhah al-Quran yang diagihkan tidak sekadar menjadi simpanan di rak, sebaliknya benar-benar dibaca dan dihayati.
Justeru, beliau menyeru masyarakat Islam supaya menjadikan Ramadan ini sebagai titik tolak untuk membina rutin membaca al-Quran setiap hari secara berterusan.
“Apabila al-Quran dibudayakan dalam keluarga, insya-Allah akan lahir generasi yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik dan profesional, tetapi juga tinggi nilai akhlaknya, kukuh integritinya dan jelas pedoman hidupnya. Inilah asas kepada pembinaan masyarakat yang sejahtera dan diberkati,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pusat Pengembangan Al-Quran Darul Hana Majlis Islam Sarawak (DHQc-MIS) atas komitmen dan usaha berterusan dalam menjayakan inisiatif tersebut.
“Begitu juga kepada pewakaf iaitu Yayasan Tun Rahah serta rakan-rakan strategik seperti Percetakan Nasional Malaysia Berhad, JAKIM dan semua pihak yang terlibat,” katanya.
Menurut beliau, DHQc-MIS merupakan institusi strategik di bawah Majlis Islam Sarawak (MIS) yang diberi mandat untuk menyelaras dan menerajui agenda pengembangan al-Quran di seluruh negeri.
Katanya, DHQc-MIS berperanan mendidik dan membimbing masyarakat Islam Sarawak ke arah ummah yang sejahtera dan progresif berteraskan al-Quran.
Bagi merealisasikan visi tersebut, pelbagai usaha dilaksanakan termasuk pengukuhan sistem pendidikan al-Quran secara sistematik dan bersepadu, pemerkasaan penyelidikan ilmiah dalam bidang al-Quran dan turath.
Ia juga termasuk pembangunan kompetensi tenaga profesional melalui latihan dan pensijilan serta pengarusperdanaan budaya al-Quran dalam komuniti melalui program berimpak tinggi.
“Secara keseluruhannya, DHQc-MIS bukan sekadar pusat pengajian tetapi sebuah institusi pembangunan ummah yang menyokong Pelan Strategi Pembangunan Ummah 2030 MIS selaras dengan agenda Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Maka, majlis agihan mushaf wakaf pada hari ini merupakan sebahagian daripada ekosistem pembangunan al-Quran yang dirancang secara strategik, berstruktur dan berimpak jangka panjang,” kata beliau.
Sumber : Utusan Borneo
|