CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 129|Reply: 0

[Sarawak] Persiapan awal Aidilfitri pilihan ramai umat Islam

[Copy link]
Post time 5-3-2026 09:20 AM | Show all posts |Read mode
Mahu elak kesesakan saat akhir, beri ruang tumpu sepenuhnya kepada ibadah pada penghujung Ramadan



Siti Aisyah memilih pendekatan sederhana dalam membuat persiapan Aidilfitri tahun ini dengan memberi keutamaan kepada ibadah dan masa bersama keluarga.

KUCHING: Persiapan awal Aidilfitri dilihat menjadi pilihan ramai umat Islam yang mahu mengelakkan kesesakan saat akhir selain memberi ruang untuk menumpukan sepenuhnya kepada ibadah pada penghujung Ramadan.

Tinjauan mendapati kebanyakan keluarga mula berbelanja lebih awal bagi memastikan urusan pembelian barangan keperluan, hiasan rumah serta pakaian raya dapat dilakukan dengan lebih teratur dan tanpa tekanan.

Antaranya seorang pekerja swasta, Siti Aisyah Ramli berkata dia memilih pendekatan sederhana dalam membuat persiapan Aidilfitri tahun ini dengan memberi keutamaan kepada ibadah dan masa bersama keluarga.

Menurutnya, setakat ini dia tidak merancang persiapan secara besar-besaran, sebaliknya sekadar melengkapkan keperluan asas bagi menyambut Syawal dalam suasana sederhana.

“Setakat ini saya memilih untuk membuat persiapan secara sederhana sahaja. Tiada perancangan yang terlalu besar. Cukuplah sekadar persiapan untuk berkumpul bersama keluarga tersayang.

“Alhamdulillah, pakaian raya kami sekeluarga sudah tersedia, begitu juga dengan biskut dan kuih-muih. Keperluan anak-anak juga telah diselesaikan lebih awal,” katanya kepada Utusan Borneo hari ini.

Siti Aisyah menjelaskan, persiapan awal dilakukan bagi mengelakkan kesesakan serta tekanan pada saat akhir, sekali gus membolehkan dia memberi fokus sepenuhnya kepada ibadah pada minggu terakhir Ramadan.

“Jika boleh, saya mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadah tanpa perlu sibuk menguruskan persiapan Syawal,” ujarnya.

Mengulas mengenai pakaian raya, Siti Aisyah berkata tahun ini keluarganya memilih untuk membeli pakaian yang sudah siap dijual memandangkan kebanyakan pakaian yang ditempah tahun lalu masih dalam keadaan baik dan boleh digunakan lagi.

“Kami ambil pendekatan yang lebih praktikal dan sederhana. Tidak perlu berlebihan jika yang sedia ada masih elok,” katanya.

Tambahnya, sekiranya memilih untuk menempah pakaian, dia kebiasaannya akan berbuat demikian seawal enam bulan sebelum perayaan bagi mengelakkan slot penuh.

“Namun jika tempahan sudah penuh, saya tidak keberatan membeli pakaian yang tersedia di pasaran sebagai alternatif,” jelasnya.

Dia turut bersetuju bahawa persiapan awal membantu mengurangkan tekanan dan keletihan fizikal selain memberi ketenangan dari segi emosi serta kewangan.

“Ia juga membolehkan kita memanfaatkan sepenuhnya fasa akhir Ramadan untuk meningkatkan ibadah tanpa gangguan urusan duniawi,” katanya.


Maliah bersama suami dan anak, yang mempunyai kemahiran menjahit mengakui lebih berpuas hati apabila dapat menghasilkan sendiri pakaian untuk keluarga.

Sementara itu seorang pekerja pertubuhan bukan kerajaan, Maliah Adenan berkata, tahun ini dia dan keluarga membuat persiapan seperti biasa sama seperti tahun sebelum ini.

Maliah berkata, persiapan awal menjadi amalan dia dan suami setiap tahun bagi memastikan segala perancangan berjalan lancar serta mengelakkan keadaan kelam-kabut pada saat akhir.

“Selain mahu lebih teratur, kami juga mengambil kira berita viral berkaitan tarikh hari raya tahun ini. Jadi lebih baik bersedia lebih awal,” ujarnya.

Maliah yang mempunyai kemahiran menjahit mengakui lebih berpuas hati apabila dapat menghasilkan sendiri pakaian untuk keluarga.

“Lebih seronok apabila kita memakai hasil tangan sendiri. Saya juga agak cerewet dari segi potongan, material dan harga. Sebab itu saya menghadapi kesukaran untuk menempah dengan orang lain,” jelasnya.

Dalam pada itu, dia bersetuju bahawa persiapan awal mampu mengurangkan tekanan memandangkan tempoh Ramadan yang singkat serta banyak perkara lain yang perlu diselesaikan menjelang Syawal.

Bagi Maliah sekeluarga, keutamaan sempena Aidilfitri bukanlah semata-mata pakaian atau juadah, sebaliknya peluang untuk pulang ke kampung dan berkumpul bersama keluarga tercinta.

“Raya tidak akan bermakna tanpa keluarga. Itu yang paling utama bagi kami,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

8-5-2026 07:39 PM GMT+8 , Processed in 1.210581 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list