
CHAI
KUCHING: Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Cina Sarawak (Dong Zong Sarawak) menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa pelarasan dasar pendidikan yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) baru-baru ini termasuk membenarkan kanak-kanak berusia enam tahun mendaftar ke Tahun Satu serta pelaksanaan peperiksaan pentaksiran Tahun Empat yang dirancang Oktober tahun ini.
Timbalan Pengerusinya Datuk Jonathan Chai menyifatkan proses tersebut sebagai berulang, tergesa-gesa dan tidak melalui rundingan yang mencukupi, sehingga menimbulkan kebimbangan mendalam dalam kalangan komuniti sekolah rendah Cina.
Beliau berkata Menteri Pendidikan sebelum ini pada November 2024 telah memberi jaminan bahawa tiada pelarasan akan dibuat terhadap sistem pentaksiran susulan pemansuhan penilaian Tahun Enam.
Namun, di bawah tekanan pelbagai pihak, menteri itu kemudiannya mengumumkan pada penghujung tahun lalu bahawa Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan akan menjalankan kajian dan mengemukakan cadangan tersebut kepada Kabinet.
Tanpa diduga, hanya seminggu kemudian, diumumkan bahawa pentaksiran Tahun Empat akan diadakan pada Oktober tahun ini, tambahnya.
“Keseluruhan proses itu, termasuk kenyataan menteri, memberi gambaran bahawa dasar pendidikan tidak dikawal sepenuhnya dan mungkin dipengaruhi pihak lain,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyertai delegasi Dong Zong Sarawak diketuai Pengerusi Kehormat merangkap Penasihatnya Temenggung Dato Vincent Lau mengadakan kunjungan hormat terhadap Kumpulan Akhbar See Hua (See Hua Daily News, The Borneo Post dan Utusan Boreno) di KTS Garden di sini, hari ini.
Chai menegaskan bahawa pelaksanaan perubahan besar dalam tempoh yang begitu singkat, dengan hanya beberapa bulan sebelum Oktober, menyebabkan guru-guru tidak pasti bagaimana untuk membuat persediaan, menilai serta menjalankan ujian.
Selain tiada garis panduan jelas untuk menangani jurang pembelajaran yang mungkin timbul, ujarnya.
“Kementerian Pendidikan tidak sepatutnya membuat sebarang keputusan secara tergesa-gesa,” katanya.
Beliau menambah, terdapat kekurangan rundingan bersama guru, pengetua atau profesional pendidikan sebelum keputusan tersebut dibuat.
Chai turut membangkitkan kebimbangan mengenai perubahan berulang terhadap dasar kemasukan kanak-kanak enam tahun ke Tahun Satu yang pada awalnya diwajibkan menduduki ujian khas tetapi dimansuhkan dan kini keputusan mengikut budi bicara ibu bapa.
“Jika kanak-kanak masuk tanpa penilaian, perkembangan mereka mungkin belum mencapai tahap yang diperlukan. Beban itu akhirnya dipikul secara tidak adil oleh guru,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa murid yang melangkah ke Tahun Satu setahun lebih awal, khususnya pelajar Bumiputera dari kawasan luar bandar, mungkin tidak mempunyai asas bahasa Cina yang mencukupi, sekali gus menimbulkan cabaran tambahan dalam pengajaran.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kekurangan guru masih menjadi kebimbangan mendesak.
Tahun lalu, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh meningkatkan jumlah tempat bagi Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) untuk sekolah rendah Cina kepada 1,678, dengan 6,328 permohonan diterima.
Bagaimanapun, hanya 1,268 diterima masuk dan 1,120 mendaftar — iaitu 558 kurang daripada jumlah yang diperuntukkan.
“Walaupun kuota ditambah, pengisiannya masih menjadi cabaran, sekali gus menunjukkan kesukaran menarik minat belia Cina untuk menceburi profesion perguruan,” katanya.
Beliau menyatakan keadaan itu semakin membimbangkan apabila lebih ramai guru dan pengetua memilih untuk bersara awal.
Chai mengakui walaupun KPM terus memperkenalkan pelbagai inisiatif yang dilihat sebagai pembaharuan, hasilnya tidak semestinya memenuhi jangkaan.
Beliau kesal kerana generasi demi generasi kanak-kanak seolah-olah menjadi subjek eksperimen dasar dan menggesa Kementerian supaya membuat perancangan rapi sebelum melaksanakan sebarang dasar.
Beliau turut menggesa Sarawak mendapatkan semula autonomi pendidikan bagi memastikan dasar yang dilaksanakan lebih mencerminkan keperluan tempatan.
Sumber : Utusan Borneo
|