'Wang simpanan kami sudah tak dapat tampung kos penginapan dan makanan' Siti Nur Aishah (kiri) bersama neneknya yang kini terkandas di Arab Saudi selepas mengerjakan umrah.
KUALA LUMPUR: "Jika terkandas lebih dari lima hari di sini, wang simpanan kami sudah tidak dapat nak tampung kos penginapan dan makanan," kata Siti Nur Aishah Muhammad Nazri, 26, antara jemaah umrah yang kini terkandas di Jeddah, Arab Saudi susulan serangan yang dilakukan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran.
Siti Nur Aishah yang bersama neneknya di sana berkata, ketika ini mereka masih tinggal di hotel dan agensi pelancongan hanya menanggung penginapan untuk dua hari satu malam saja.
Dia juga berharap pihak kerajaan mengambil tindakan segera bagi membantu jemaah umrah yang terkandas di Arab Saudi.
"Kami mohon agar diberikan bantuan tempat tinggal dan makanan sepanjang terkandas di sini kerana bukan semua orang mampu dan berduit. Terdapat jemaah yang datang lima sekeluarga. Jumlah perbelanjaan mereka semestinya banyak perlu dikeluarkan.
"Jika ruang udara sudah dibuka, saya amat berharap bantuan daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk datang membantu kami pulang ke Malaysia dengan selamat. Ini kerana terdapat warga emas yang berusia 68, 72 dan 75 tahun yang resah dan susah hati di sini," katanya.
Siti Nur Aishah berkata walaupun bimbang dengan situasi yang berlaku, namun dia perlu berfikir secara positif terhadap perkara menimpanya.
"Saya perlu fikir positif supaya nenek tak susah hati di sini. Keluarga dan kawan saya di Malaysia ramai yang bertanya khabar kerana risaukan kami," katanya ketika dihubungi hari ini.
Siti Nur Aishah berkata, walaupun mereka dalam keadaan selamat, namun dia perlu berada dalam situasi berjaga-jaga dalam masa 24 jam ini.
"Keadaan saya buat masa sekarang alhamdulillah selamat, tetapi saya perlu dalam situasi berjaga-jaga 24 jam. Tidur pun tak boleh terlalu lena kerana apa-apa boleh terjadi," katanya yang berasal dari Kedah.
Seorang lagi jemaah umrah yang terkandas, Irshad Harris, 32, berkata, peristiwa terkandas di Arah Saudi bersama tiga rakan yang lain disifatkannya akan sentiasa dikenang dan tidak dapat dilupakannya.
Beliau yang sepatutnya pulang pagi ini berkata, dia dan rakannya reda terhadap apa yang berlaku kepada mereka. "Apa-apa yang Allah sudah susun, saya reda. Setiap kejadian ada hikmahnya," katanya yang tinggal di Johor Bahru.
Dia yang juga seorang seorang peniaga turut mengambil inisiatif dengan mewujudkan kumpulan WhatsApp, mengandungi jemaah umrah yang terkandas di Makkah, Madinah dan Jeddah.
"Tujuannya adalah untuk kami berkongsi maklumat dan info semasa. Setakat ini lebih 30 jemaah berada dalam kumpulan WhatsApp ini," katanya.
Irhad juga memaklumkan dia dan rakannya sudah membeli tiket penerbangan baharu yang dijadualkan berlepas esok. "Saya beli semalam berharga RM1,200. Hari ini harganya sudah melonjak kepada RM2,400. Ia penerbangan terus dari Jeddah ke Kuala Lumpur, harapan terakhir kami untuk pulang ke tanah air," katanya.
|