CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
View: 180|Reply: 0

[Sabah] Antara kecepatan berita dan ketepatan fakta

[Copy link]
Post time 27-2-2026 10:11 AM | Show all posts |Read mode
Jangan mengejar sensasi tanpa verifikasi kerana setiap fakta yang ditulis memikul amanah besar



ALBUM: Teo (tengah) bersama kepemimpinan ISWAMI Malaysia dan Indonesia bergambar sebelum majlis Makan Siang dan Dialog sempena HPN 2026.

DALAM era kewartawanan digital kini, kecepatan sering dijulang sebagai kehebatan dan kecemerlangan.

Wartawan berlumba mengangkat sesuatu berita ke platform atas talian bagi meraih seramai mungkin pengikut, malah ada pengarang menetapkan `deadline' berbuat demikian. Tidak kurang, ada yang menjadikan kecepatan itu sebagai satu daripada Indeks Prestasi Utama (KPI).

Namun dalam ghairah mengejar yang terpantas, harus kita insafi bahawa cepat belum tentu tepat. Kelajuan tanpa pedoman hanya akan melahirkan kekaburan, sedang masyarakat mendambakan fakta yang jelas dan tepat.

Kecepatan ialah keperluan, tetapi ketepatan ialah keutamaan. Jangan menjejar sensasi tanpa verifikasi.

Perlu diingat, setiap fakta yang ditulis memikul amanah besar—ia mampu membina persepsi, mempengaruhi emosi, malah menggoncang kestabilan.

Tanpa tapisan dan penelitian, berita boleh berubah menjadi bara yang membakar kepercayaan orang ramai.

Justeru, wartawan dituntut agar dalam kelajuan jari menulis, ia hendaklah berpaksi kebenaran di hati.

Tangan boleh sepantas kilat menekan papan kekunci, tetapi nurani harus lebih dahulu menimbang antara sahih dan sangsi.

Di situlah letaknya maruah profesion—menyeimbangkan antara kecepatan waktu dengan disiplin fakta, agar setiap berita yang terbit bukan sekadar cepat sampai, tetapi tepat dan bertanggungjawab.

Inilah pandangan saya kongsikan dengan Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Indonesia, Asro Kamal Rokan, ketika sambutan Hari Pers Nasional (HPN) 2026 di Kota Serang, Banten, Indonesia awal bulan ini.



AKRAB: Penulis (dua kanan) menunjukkan artikel berkaitan HPN dalam akhbar Utusan Borneo kepada Asro sempena program itu.

Sebagai Ahli Majlis Pentadbir ISWAMI Malaysia, saya juga diamanahkan menjadi moderator majlis dialog bersama pengarang dan wartawan kanan Indonesia, seusai perasmian HPN.

Majlis Dialog dan Makan Siang itu dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Pemangku Presiden ISWAMI Malaysia, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Sambutan HPN kali ini yang mengangkat tema `Pers Sehat, Ekonomi Berdaulat, Bangsa Kuat' mengajak wartawan merenung kembali tanggungjawab mereka terhadap bangsa.

Ia mengangkat martabat wartawan sebagai pembangun negara bangsa—pena mereka bukan hanya mencatat peristiwa, tetapi menenun masa depan.

Kewartawanan yang sihat diibaratkan nadi yang mengalirkan darah segar ke seluruh tubuh demokrasi. Tanpa nadi itu, ekonomi berdaulat hanya tinggal angan-angan, dan bangsa kuat hanya tinggal slogan.

Justeru, kewartawanan yang membugar menjadi asas kepada kedaulatan fikrah dan kematangan warganegara.

Ini kerana di tengah arus digital yang deras dan gelombang disrupsi yang menggoncang, wartawan diuji bukan sahaja dengan kecepatan, tetapi dengan ketepatan.


KEWARTAWANAN: Penulis (kiri) menyerahkan salinan akhbar Utusan Borneo kepada Teo seusai Majlis Makan Siang dan Dialog antara wartawan Malaysia dan Indonesia.

HPN di Kota Serang menjadi ruang muhasabah—apakah pena masih setia kepada kebenaran, atau terhanyut oleh sensasi dan kepentingan?

Lebih 2,000 wartawan dari seluruh pelosok Indonesia berhimpun sempena HPN kali ini, membentuk samudera suara yang beragam namun tetap sehati.

Presiden Prabowo Subianto yang diwakili oleh Menteri Koordinator Pemberdayaan Masyarakat, Muhaimin Iskandar, merasmikan HPN 2026 dengan amanat yang sarat hikmah.

Dari Malaysia, delegasi wartawan hadir menimba pengalaman dan menganyam ukhuwah serantau.

Pertemuan ini menjadi jambatan budaya dan profesionalisme, memperkaya perspektif serta memperkukuh solidariti Nusantara.

Kehadiran Teo menjadi lambang sokongan kerajaan terhadap usaha memartabatkan wartawan. Ia menandakan bahawa suara media dihargai sebagai kompas negara.

Hakikatnya, HPN mengajarkan bahawa wartawan bukan sekadar penyampai berita, tetapi penjaga nurani bangsa.

Di situ, terhimpun tekad bahawa kewartawanan yang beretika dan berintegriti ialah akar kepada demokrasi yang matang serta pembangunan yang berdaya tahan.

Pesan yang disampaikan oleh Muhaimin memperteguh keyakinan bahawa pemerintah dan wartawan harus berjalan seiring—bukan saling menekan, tetapi saling menguatkan.

Dalam masa yang sarat cabaran digital dan gelombang maklumat tanpa tapisan, hanya kewartawanan yang sihat mampu memelihara kepercayaan rakyat dan merawat kohesi sosial.

Pertemuan tahunan wartawan se-Indonesia, dan penyertaan dari ISWAMI Malaysia, bersama dukungan kepimpinan kerajaan, menjadi lambang solidariti Nusantara yang kian utuh.

Dari Kota Serang terpancar satu ikrar bahawa kebebasan media yang bertanggungjawab akan terus dipelihara, demi membina bangsa yang bukan sahaja kuat jasadnya, tetapi luhur budinya dan teguh demokrasi jiwanya.

Di tangan wartawan, terletak benih harapan. Di hujung pena mereka terlukis wajah masa depan.


Sumber : Utusan Borneo

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-6-2026 02:03 AM GMT+8 , Processed in 0.063557 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list