
HANYUT: Rumah Kishan yang dihanyutkan arus banjir di Paitan.
PAITAN: Dua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Paitan berdepan ujian getir apabila rumah kediaman mereka hanyut dan musnah akibat banjir, namun tetap meneruskan tugas membantu mangsa yang terjejas.
Prebet (PA) Kishan Indet dan Prebet (PA) Junerin Udam tidak menjadikan kehilangan tempat berteduh sebagai alasan untuk tidak melapor diri, sebaliknya terus berada di barisan hadapan dalam operasi menyelamat.
Ketika kejadian, rumah mereka antara yang paling teruk terjejas sehingga dilaporkan roboh dan dihanyutkan arus deras pada hari pertama banjir melanda kawasan itu.
Walaupun keluarga mereka terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), Kishan bersama isterinya yang juga anggota APM tetap melapor diri ke pusat kawalan operasi selepas menerima maklumat berkaitan banjir.
“Kami jalankan tugas seperti biasa walaupun rumah sendiri terjejas. Keutamaan ketika itu adalah memastikan mangsa lain selamat,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dalam masa sama, pasangan itu membuat keputusan meninggalkan anak tunggal lelaki mereka di bawah jagaan keluarga terdekat bagi membolehkan mereka fokus menjalankan tugas.

ROSAK: Keadaan rumah Junerin yang roboh akibat banjir yang melanda Paitan, baru-baru ini.
Bagi Junerin, kehilangan kediaman bukan alasan untuk menarik diri daripada tanggungjawab sebagai anggota barisan hadapan.
“Memang sedih apabila melihat rumah hanyut, tetapi sebagai anggota APM kami perlu utamakan keselamatan penduduk terlebih dahulu,” katanya.
Difahamkan, seramai 29 anggota APM Paitan digerakkan dalam operasi banjir kali ini dan sebahagian daripada mereka turut berdepan situasi sama apabila kediaman masing-masing dinaiki air.
Banjir di Paitan dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan lebih 24 jam sehingga menyebabkan paras sungai naik mendadak dan melimpah ke kawasan penempatan penduduk termasuk Kampung Sokoon dan Kampung Golong.
Keadaan itu memaksa beberapa keluarga dipindahkan ke PPS selepas kediaman mereka rosak, malah ada yang dihanyutkan arus deras.
Sumber : Utusan Borneo
|