CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
View: 219|Reply: 0

[Sarawak] Mahkamah Tinggi putuskan tuntutan jaminan bank RM7.95 juta PETRONAS ke atas PETROS adalah sah

[Copy link]
Post time 26-2-2026 11:34 AM | Show all posts |Read mode


Penasihat Undang-Undang Sarawak Datuk Seri JC Fong mewakili PETROS ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuching, hari ini. - Gambar BERNAMA

KUCHING: Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bahawa tuntutan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) supaya Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) mengemukakan jaminan bank berjumlah RM7.95 juta adalah sah.

Hakim Datuk Farids Gohim Abdullah memutuskan bahawa PETROS gagal membuktikan bahawa tuntutan terhadap jaminan bank itu adalah tidak wajar atau menyalahi undang-undang.

Berhubung isu perlembagaan, beliau menjelaskan bahawa perkara tersebut berada di luar skop saman pemula yang difailkan oleh PETROS.

Farids Gohim berkata, persoalan mengenai keperlembagaan dua undang-undang, iaitu Akta Pembangunan Petroleum 1974 (undang-undang persekutuan) dan Ordinan Pengagihan Gas 2016 (undang-undang Sarawak), sepatutnya ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan Malaysia.



Peguam Datuk Dr Cyrus Das, yang mewakili PETRONAS bercakap kepada pemberita di luar kamar Mahkamah Tinggi Kuching, hari ini. - Gambar BERNAMA

Mahkamah telah menolak saman pemula yang difailkan oleh PETROS dengan kos sebanyak RM50,000 yang perlu dibayar kepada PETRONAS.

PETRONAS telah menuntut jaminan bank tersebut selepas PETROS enggan membuat bayaran bagi gas yang dibekalkan pada Ogos 2024, dengan alasan bahawa PETRONAS tidak mempunyai lesen yang sah di bawah Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO 2016) untuk membekalkan gas di Sarawak.

Selepas itu, PETROS memohon suatu perisytiharan mahkamah bahawa tuntutan PETRONAS terhadap jaminan bank berjumlah RM7.95 juta adalah tidak wajar, tidak sah serta terbatal.

PETRONAS diwakili oleh peguam utama Datuk Cyrus Das, dibantu oleh peguam Khoo Guan Huat dan Alex Ngu, manakala PETROS dan Kerajaan Sarawak masing-masing diwakili oleh peguam Tan Sri Cecil Abraham dan Penasihat Undang-Undang Negeri Dato Sri JC Fong.

Kerajaan Persekutuan pula diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly.

Ketika ditemui selepas prosiding hari ini, Cyrus berkata Petronas akan memohon kebenaran pada 16 Mac untuk merujuk persoalan perlembagaan tersebut ke Mahkamah Persekutuan, dan menjangka permohonan itu akan dibantah.

Beliau menambah bahawa Kerajaan Sarawak juga telah memfailkan petisyennya sendiri dan kedua-dua perkara itu perlu diputuskan oleh mahkamah tertinggi negara.

Secara ringkas katanya, kesahan perlembagaan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) dan DGO 2016 akhirnya akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

“Berhubung isu-isu perlembagaan, hakim juga memutuskan bahawa perkara tersebut berada di luar skop OS (saman pemula) dan forum yang sesuai untuk menentukan kesahihan perlembagaan dua undang-undang yang bersaing, iaitu PDA 1974 sebagai undang-undang persekutuan dan DGO 2016 sebagai undang-undang Sarawak, adalah Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Pada 12 Januari, PETRONAS telah memfailkan satu permohonan di Putrajaya bagi mendapatkan penentuan Mahkamah Persekutuan mengenai kedudukan undang-undang yang terpakai terhadap operasinya di Sarawak bagi memastikan pematuhan kepada undang-undang berkaitan dan amalan tadbir urus yang baik.

Mahkamah Persekutuan di Kuala Lumpur kemudian menetapkan 16 Mac untuk memutuskan sama ada PETRONAS perlu diberikan kebenaran untuk mendapatkan penjelasan mengenai rangka kerja pengawalseliaan yang mentadbir operasinya di Sarawak.

Kerajaan Sarawak turut memfailkan satu petisyen di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan penentuan mengenai kesahan perlembagaan dan keberterusan pemakaian beberapa undang-undang petroleum persekutuan terhadap negeri itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, petisyen itu difailkan untuk menentukan kesahan perlembagaan dan keberterusan pemakaian Akta Pembangunan Petroleum 1974, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966 terhadap Sarawak.

Beliau berkata, akta-akta persekutuan tersebut menjejaskan serta melucutkan hak Sarawak terhadap sumber semula jadinya, termasuk minyak dan gas, yang ditemui di dasar laut pelantar benua dalam sempadan sebagaimana yang diperluas dan ditakrifkan oleh Sarawak (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954 dan Sarawak (Definition of Boundaries) Order in Council 1958.

Apabila dihubungi, Fong berkata pihak negeri akan mengeluarkan kenyataan media kemudian berhubung keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.


Sumber : Utusan Borneo

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-6-2026 01:54 AM GMT+8 , Processed in 0.204548 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list